Ekonomi

TV SUKSES SME Bank, SUKSES 4.0 lahirkan usahawan muda pintar digital

PLATFORM digitil menjadi pilihan bukan sahaja dalam kalangan penerbit portal dalam talian tetapi juga SME Bank apabila pihak pengurusan mereka menzahirkan TV SUKSES dengan memperkenalkan SUKSES 4.0.

Pengisian penerbitan program TV SUKSES ialah pertandingan keusahawanan berformat realiti televisyen yang mana ia bertujuan melahirkan usahawan muda pintar digital bagi membantu golongan ini untuk berhadapan dengan cabaran perniagaan norma baharu.

Demikian hasrat yang dizahirkan oleh Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, SUKSES 4.0 akan menyusuri perjalanan 10 orang peserta yang terdiri daripada usahawan syarikat pemula sehinggalah kepada peringkat mikro yang akan dibimbing oleh mentor yang juga merupakan pelanggan SME Bank yang berjaya.

“Melihat kepada kepentingan media sosial dan adaptasi digital dalam perniagaan terutamanya dalam tempoh getir seperti sekarang ini, SME Bank mengubah format SUKSES 4.0 untuk memberi nilai jangka panjang kepada peserta.

“Dan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan trend terkini dunia perniagaan.  Selain itu, peserta juga berpeluang belajar secara langsung dengan usahawan-usahawan mentor bagaimana mengembangkan perniagaan dan menjamin kelangsungan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, setiap peserta diberi dua tugasan iaitu tugasan pertama menguji kemahiran keusahawanan peserta dan bagaimana mereka menggunakan ilmu yang diperoleh daripada mentor di dalam perniagaan masing-masing.

Manakala tugasan kedua pula, ujar Aria, berkaitan dengan media sosial untuk perniagaan di mana peserta perlu memuat naik tugasan ke platform media sosial masing-masing dan menggunakan teknik pemasaran digital yang dipelajari.

Untuk memastikan program ini memberi impak yang besar kepada para peserta, SME Bank telah melantik empat orang panel juri profesional yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan, pemasaran digital dan ikon usahawan daripada sektor perkhidmatan serta makanan dan minuman, kata beliau.

“Mereka ialah Hamdan Mohd Habibollah, Ketua Pengurusan Stakeholders, SME Bank; Aaliyah Soraya Darus, Pengurus Besar Nuffnang Live Commerce Sdn. Bhd. yang mewakili sektor pemasaran digital; dan Dato’ Wan Mohammad Sani Salleh, Pengasas & Penasihat Kumpulan Sani United Berhad serta Azri Zahier Azmi, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif The Boom Beverage Sdn. Bhd,” jelas Aria dalam kenyataan yang sama.

Tambah beliau, pemilihan panel juri dijangka memberi nilai tambah melalui tunjuk ajar, pengalaman dan pengetahuan yang ada pada mereka, kepada para peserta untuk memajukan perniagaan masing-masing.

Markah diaudit oleh juru audit bertauliah yang dilantik khusus untuk SUKSES 4.0, katanya.

Bagi memastikan para peserta dilengkapi dengan ilmu keusahawanan dan mempunyai ciri-ciri usahawan yang berjaya, Aria memberitahu, mereka telah diberi peluang untuk mengikuti kelas latihan keusahawanan lengkap yang dikendalikan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat milik penuh SME Bank dan kelas perniagaan digital oleh Master Azriel dari Azriel Consulting and Training.

“Pelbagai cabaran akan ditempuhi oleh para peserta untuk merebut gelaran Juara SUKSES 4.0 yang menawarkan hadiah terkumpul bernilai lebih RM100,000.

“Sebagai menghargai penonton setia SUKSES 4.0, kuiz mingguan akan dimuat naik di laman Facebook SUKSES 4.0 dan hadiah bernilai RM10,000 menanti pemenang. SUKSES 4.0 dihoskan oleh pelakon tanah air, Fattah Amin,” katanya.

Program ini telah memulakan siarannya pada 11 Julai  lalu iaitu pada setiap  hari Ahad, pukul 9.00 malam di saluran AWANI 501 dengan siaran ulangan setiap Khamis pukul 3.30 petang.

Penonton juga boleh mengikuti Diari SUKSES 4.0 yang memaparkan coretan perjalanan peserta SUKSES 4.0 di saluran YouTube SUKSES 4.0 yang dimuat naik setiap hari Jumaat.

Untuk rekod, Program TV SUKSES yang asal telah memenangi Anugerah Program Pembangunan Usahawan daripada Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP) sewaktu Mesyuarat Agung ke-41 yang diadakan di New Delhi, India pada tahun 2018. – SM

 

(Visited 363 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button