BAYANGKAN… sebaik sahaja buka mata pagi ini, kita tidak lagi dapat menonton berita pagi atau mendengar radio seperti hari-hari biasa.
Sebaliknya, apa yang didengari hanyalah satu mesej daripada pihak berkuasa supaya kekal berada di dalam rumah dan tidak sesekali keluar sehingga arahan lain diberi.
Malah kita turut dinasihat supaya memastikan simpanan bekalan makanan dan minuman cukup untuk tempoh masa sehingga bantuan tiba, yang mana masanya tidak pasti.
“Ini adalah pesanan kecemasan, anda diminta untuk kekal berada di dalam rumah. Jangan keluar sehingga diberitahu. Ini bukan latihan atau iklan komersial.
“Pastikan bekalan makanan cukup bagi tempoh satu atau dua minggu sehingga bantuan tiba. Jangan keluar rumah sehingga diberitahu.”
Mungkin itu yang kita dengar dan mesej tersebut terus diulang-ulang sepanjang hari.
Kita mula rasa tidak keruan, cuba hidupkan televisyen bagi mendapatkan maklumat kepastian mengenai mesej daripada radio tadi.
Tetapi hampa, apa yang dilihat hanyalah paparan spektrum warna menandakan tiada siaran.
Kemudian tukar saluran lain, kali ini bebeza tetapi tak menggembirakan kerana apa yang dilihat adalah paparan spektrum warna dengan mesej kecemasan sama seperti dalam radio tadi.
Terus buntu, tangan capai telefon bimbit untuk semak media sosial.
Mula rasa terkejut dan takut apabila melihat maklumat jumlah jangkitan dan kematian akibat Covid-19 naik mendadak.
Masa ini juga tiba-tiba teringat keluarga di kampung, hospital atau mana-mana sahaja.
Satu jam kemudian, bunyi siren ambulans dan polis bertalu-talu. Diselang pula dengan bunyi dentuman seperti berlaku pelanggaran akibat keadaan di luar jadi kecoh, orang ramai sudah mula panik.
Rasa takut, risau bukan kepalang.
Adakah bila sampai ke tahap itu baharu kita hendak tengadah. Baharu terfikir hendak patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan sebelum ini?
Masakan ya? Angka orang yang ingkar PKP sejak hari pertama fasa ke-3 tidak kurang seribu. Lebih setengah juta kenderaan diperiksa atas jalan setiap hari.
[BACA] Bertambah ramai degil ingkar PKP — Suara Merdeka
Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan seramai 1,565 individu ingkar pada kelmarin.
Jumalah itu lebih ramai berbanding hari pertama dan kedua PKP fasa ke-3 (PKP-3).
Orang kuat Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah pula sudah umum jangkitan alami penurunan bawah 100 untuk dua hari berturut-turut.
Bermakna kita berada atas landasan (on-track) untuk kurangkan jangkitan dan mungkin 28 April ini adalah hari terakhir PKP.
[BACA] Covid-19: Bilangan kes baharu terendah 69 orang, 56.50 peratus sembuh — Suara Merdeka
Tetapi, bayangkan sekali lagi dalam PKP-3, 1,315 orang (hari pertama), 1,057 (kedua) dan 1,565 (ketiga), mereka semua ini menunjukkan simptom positif Koronavirus (Covid-19).
Kemudian, ahli keluarga, kawan dan dengan siapapun dia berjumpa menyebabkan jangkitan naik mendadak. Berlaku cuma dalam tempoh satu malam sahaja iaitu apabila mereka balik rumah.
Dalam keadaan itu, pasukan barisan hadapan pasti tidak berdaya lagi. Pertahanan mereka ranap.
Kita hanya akan menyedari itu sebaik sahaja kita buka mata pagi ini. Terjaga bukan sebab bunyi jam penggera.
Patuhlah PKP… Putuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Komentar