Belang Bertempat

Tun Mahathir-UMNO…air dicencang tiada putus

Video rakaman yang tular di media sosial yang berlaku dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Khas Parti BERSATU, 23 Februari lalu jelas kedengaran, dipercayai suara Tun Dr Mahathir Mohamad:
“…saya tak suka DAP, Anwar (Ibrahim)…”.

Hakikatnya, empat tahun lepas, 2016, banya k pihak terkejut bercampur hairan bagaimana Dr. Mahathir boleh muncul bersama musuh nombor satunya dalam politik, Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam satu majlis menandatangani satu deklarasi `Selamatkan Malaysia’.

Bersama UMNO puluhan tahun – bak aur dan tebing meskipun dua tiga kali keluar dari parti itu- kerjasama yang dijalin dengan DAP sebaliknya. Ia ibarat dalam politik orang Melayu menderhakai amanah bangsa.

Episod-episod suka duka Dr Mahathir memanjat hierarki penuh getir dan mencabar dalam dunia politik begitu segar dan melekat di kepala orang UMNO.

Dalam episod pertembungan antara Team A dan Team B semasa Pemilihan Presiden UMNO pada tahun 1987, ketika itu siapa yang setia berada di belakang Dr. Mahathir? Kalau bukan ahli-ahli UMNO.

Hinggakan YB Mulia Tengku Razaleigh Hamzah ketika itu berkecil hati atas keputusan sayap Pemuda parti dan pasukan berpihak kepada Dr. Mahathir.

Babak selanjutnya, tragedi hitam ketika Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh 4 Februari 1988 mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan yang haram.

Juga, siapa pada saat-saat genting dan mendebarkan tersebut, yang berdiri teguh menyokong dan membantu Dr. Mahathir selaku Presiden, sehingga UMNO baharu telah secara rasmi diterima semula secara sah?

Siapa lagi kalau bukan orang-orang UMNO.

Episod selanjutnya, ketika negara berdepan krisis kegawatan kewangan Asia sekitar 1997-1998, sekali lagi, parti dan siapakah yang tetap setia menyokong apa pun jua keputusan Presiden UMNO? Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan, orang-orang UMNO yang setia.

Dr. Mahathir yang dulunya seorang negarawan terbilang, sudah berpaling tadah terhadap parti yang pernah diterajuinya selama puluhan tahun.

Secara tiba-tiba, beliau bersubahat pula dengan DAP, Perhimpunan Haram BERSIH, Parti Amanah Negara, PKR. Dan lebih teruk dari itu bersekongkol dengan musuh-musuh luar negara seperti Soros yang pernah disuruhnya rakyat Malaysia membencinya sebagai penyangak matawang.

Apabila Dr. Mahathir berkawan dengan musuh-musuh UMNO semata-mata untuk menjatuhkan UMNO dengan membawa status negarawan, nampaknya legasi beliau tergores besar. Sepatutnya dalam berdepan dengan kepimpinan kerajaan sedia ada, Dr. Mahathir patut bertindak seperti `tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak’.

Seingat SUARA MERDEKA, banyak kejayaan negara diraih oleh kerajaan sebelum pilihan raya umum ke-14. Antaranya, hasil lawatan pimpinan kerajaan ke Jerman pada 2016, telah dimeterai pelaburan bernilai 1 bilion Euro atau hampir 5 bilion ringgit melalui syarikat Osram.

Selepas itu, melalui lawatan ke China, kerajaan mencipta sejarah apabila berjaya memeterai perjanjian pelaburan bernilai hampir 144 bilion ringgit. Ini sekali gus memberi pulangan lumayan kepada negara.

Semasa itu pembangkang DAP dan PKR cukup agresif. Mencela kerajaan dengan macam-macam tuduhan. Ia termasuk mengatakan Malaysia akan bankrap.

Padahal, penarafan yang dibuat, tidak oleh pihak sebarang-sebarang. Contohnya bukanlah oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan atau DAP atau PKR atau Mat Sabu.

Tetapi rating atau penarafan rekod kejayaan negara, dipersahihkan oleh Badan-Badan serta agensi antarabangsa yang teriktiraf akan kewibawaannya di serata dunia.

 

Penarafan terkini Malaysia waktu itu berada dalam rating kumpulan A.

Kerajaan semasa itu begitu prihatin terhadap kebajikan rakyat, sehingga mampu menyediakan Pusat Khidmat Sehenti atau UTC yang beroperasi 7 hari seminggu, dari pukul 8 pagi hingga 10 malam?

Mana ada negara dalam dunia yang kerajaannya mampu menyediakan perkhidmatan sebegini? Mana ada? Malahan, untuk rawatan pesakit, segalanya pun hampir percuma di hospital kerajaan dengan peruntukan Bajet tahun 2017 sahaja menjangkau kira-kira RM25 bilion.

Dalam ehwal pendidikan, bermula dari peringkat pra-sekolah, rendah sampai ke menengah semuanya hampir percuma dan di universiti-universiti awam pula lebih kurang 90 peratus kos pengajian ditanggung oleh kerajaan dengan anggaran belanja keseluruhan lebih RM56 bilion.

Ahli UMNO tidak akan lupa sentuhan Dr. Mahathir dalam memupuk perpaduan parti. Antaranya, suatu ketika semasa Parti Melayu Semangat 46 (S46) `berkelana’ di luar UMNO, pemimpin-pemimpin parti itu dinasihatkan Dr. Mahathir supaya kembali ke perjuangan UMNO baharu. Ia agar kepimpinan dan kejituan parti kembali relevan.

Kalau ditanya kepada bekas pemimpin-pemimpin S46 yang masih mengingati senario itu, mereka akan cepat menjawab: “Ya, sembilan tahun itu (1988-1996), kami sudah kenal `isi perut DAP’.

Maka, atas nama perpaduan umat Melayu dan ummah, Dr Mahathir lupakanlah sengketa dan perbezaan antara beliau dan UMNO. Bersamalah kembali ke pangkal jalan.

Perpaduan ummah amat dekat di hati orang Melayu. Kalau orang Melayu boleh bersatu dalam pengertian sebenar perpaduan ummah, untuk kepentingan sejagat, mengapa tidak dimulakannya sekarang di negara kita sendiri.

Inilah kemuncak kepada kejayaan perjuangan yakni perpaduan ummah.

Gerak kerja dari sepak terajang Dr Mahathir serta beberapa pemimpin yang mengikut beliau, dibimbangi akan mengelirukan masyarakat Melayu dan rakyat Malaysia.

Ia terilustrasi melalui tindak-tanduknya bersama DAP – yang jelas bertentangan dengan sepanjang hayat Dr Mahathir cuba untuk menidakkannya dahulu.

Ayuhlah, ubati luka itu. Jangan menyimbah minyak kepada api permusuhan sesama sendiri lagi.

Bak kata orang dulu-dulu,

Air dalam bertambah dalam,
Hujan dahulu belum teduh,
Hati dendam jangan didendam,
Dendam yang dulu mesti disembuh.
– SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button