fbpx
Nasional

Bertindak tegas, Polis terima cemuhan dengan hati terbuka

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak lebih tegas terhadap individu rentas negeri dan apa juga cemuhan akan diterima dengan hati terbuka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan yang diambil itu adalah untuk menjada keselamatan orang ramai bagi memastikan wabak Covid-19 tidak menular.

Ekoran itu katanya, anggota PDRM yang bertugas di sekatan jalan raya juga digalakkan untuk mengenakan kompaun terhadap mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sudah tiba masanya PDRM bertindak lebih keras terhadap perkara ini (individu rentas negeri) kerana sebelum ini kompaun tidak dikeluarkan atas budi bicara anggota bertugas,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, hari ini.

Menurut Abdul Hamid, tindakan PDRM kemungkinan dilihat sebagai kejam kerana perlu bertindak menjaga keselamatan orang ramai.


“Apa jua cemuhan terhadap anak buah saya (anggota PDRM), saya terima dengan hati terbuka kerana tindakan diambil untuk kebaikan masyarakat sendiri,” katanya.

Sementara itu katanya, mereka yang ‘terlepas’ pulang beraya di kampung akan terus diburu melalui pemeriksaan dari rumah ke rumah.

Katanya, mereka yang berjaya meloloskan diri merentas negeri sedang dikesan melalui pemeriksaan dilakukan di lokasi sekatan jalan raya seperti di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Jalan Duta, Plaza Tol Sungai Besi dan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Semalam, pada 1 Syawal, 14 individu yang merentas negeri dan berada di kampung masing-masing untuk meraikan Aidilfitri telah dikenakan kompaun.

Tindakan itu diambil kerana mereka gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini bukti bahawa amaran polis akan buat pemantauan dari rumah-rumah ke rumah bukan main-main, malah ramai lagi yang degil dan kini berada di kampung akan dikenakan tindakan selepas ini.

Memetik laporan BERNAMA, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa tindakan kompaun itu membuktikan pihak berkuasa serius dalam menjalankan tanggungjawab bagi memastikan SOP dipatuhi.

“Ada yang tidak percaya apabila saya kata polis akan buat pemantauan ketika Hari Raya, tetapi polis buat kerja. Yang sudah balik kampung (rentas negeri) melepasi jalan tikus tetap dicari.

“Ini terbukti semalam apabila 14 kompaun dikeluarkan kepada mereka yang ketika itu berada di kampung masing-masing. Jadi kalau saya kata perkara ini serius, masih ada yang ambil ringan (mudah),“ katanya dalam sidang media harian PKPB, di Putrajaya, hari ini. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button