Politik

Tun Mahathir! berdamailah demi `Tanah Melayu’ ini…

Jangan disalai ciku kedondong
Salailah ikan atas para
Jangan disalahkan ibu mengandung
Salahkan badan yang buruk pinta.

Banyak udang banyak garam
Banyak orang banyak ragam
Banyak tukang terbuang kayu
Banyak politik negara hancur.

MELAYU

Pepatah Inggeris menyebut, Beware of Greeks bearing gifts atau “Berjaga-jagalah apabila orang Greek membawa hadiah”. Wilayah Troy jatuh ke tangan orang Greek kerana mereka menerima hadiah kuda kayu yang diberi oleh orang Greek.

Begitu juga dengan orang yang datang dalam politik `kacau’, lantas membuat janji-janji yang memikat nafsu rakyat. Mereka sanggup membuat apa jua janji untuk `bentuk kerajaan’ kerana mereka tahu mereka tidak akan bertanggungjawab menunaikan janji-janji itu.

Harus diingat, tujuan pilihan raya untuk membentuk kerajaan. Tetapi jika tersalah pilih, mereka akan mendapat kerajaan dan para pemimpin yang hanya asyik untuk berkuasa sahaja.

Bak kata pepatah Barat, a people deserves the Government it gets. Atau lebih kurang maksudnya “Sesuatu bangsa mendapat kerajaan yang padan bagi bangsa itu”. Jika kita hendak kerajaan yang baik, kita akan dapat kerajaan yang baik. Tetapi jika sengaja memilih kerajaan yang buruk, akibatnya mendapat kerajaan yang buruk.

Sayangnya, orang Melayu gemar berpolitik. Banyak parti teras Melayu pun tak apalah. Tujuh, lapan, 10, 20. Tapi biarlah politik itu ikut model orang lain – yang terarah dan mereka tahu apa yang hendak digapai untuk manfaat kaumnya.

MELAYU

Terkadang, teringat balik ungkapan Prof Diraja Ungku Aziz banyak tahun lepas. Katanya semasa dulu-dulu tidak ramai pemimpin Melayu yang garang dan berpendirian teguh. Banyak pemimpin yang kompromi sana, kompromi sini.

“Pemimpin seperti Sir Winston Churchill, beliau tak suka kompromi. Pemimpin seperti Churchill berpendirian tetap dan berani. Soalnya siapa berani korbankan diri?” kata Ungku Aziz.

Ya, andai katalah Tunku Abdul Rahman tidak mengalah apabila disergah oleh Lee Kuan Yew pada 1965, pulau itu barangkali masih kepunyaan Malaysia hari ini. Ah! betapa sejarah memang diubah oleh tindak tanduk politik adalah suatu kenyataan.

Tidak mahulah apa yang berlaku di Singapura berulang di negara ini. Lihatlah Geylang Serai yang dahulunya merupakan kampung Melayu kini menjadi pusat tarikan pelancongan yang hanya mempamerkan rumah-rumah tradisional orang Melayu. Nilai orang Melayu di republik itu bertukar dari penduduk asal kepada etnik ‘eksotik’.

Orang Melayu lama pasti tidak lupa dengan kampung Melayu yang sudah pupus seperti Kampung Glam. Selepas kemenangan PAP (People’s Action Party) pada tahun 1959, Housing Development Board (HDB) yang diperkenalkannya setahun kemudian benar-benar mengubah polisi perumahan di Singapura.

Hasilnya, kebanyakan kawasan perumahan terancang di negara itu didiami lebih 80 peratus kaum berkenaan. Selebihnya siapa?

Waima apa pun, sesuatu isu seharusnya dipersoalkan oleh mereka yang bertampuk politik dan yang sayangkan negara sebagai sayangkan rumah sendiri. Buat apa serambi rumah diberikan kepada orang yang hanya menyewanya mentang-mentang si penyewanya garang dan pintar!

Dan inilah dikatakan politik Melayu itu harus melibatkan perbuatan meneladani alam sekeliling – manusia dan alam.

Belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik.

Maka, selaku orang yang kaya pengalaman dan masak sepak terajang politik, alangkah elok kiranya negarawan kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggerakkan iniasiatif penyatuan Melayu sejajar dengan penguasaan dalam segala sumbernya.

Tun! kita orang Melayu sudah tidak ada apapun di `Tanah Melayu’ Malaysia ini. Ekonomi sudah dikuasai kaum lain. Pendidikan? Mereka juga. Kekayaan? Kita maklum kaum itu jua lah.

Yang kita orang Melayu ada kini, itupun `sekelumit’ yang tinggal hanyalah kuasa politik. Dan berdikit-dikit pula dirampas pihak sebelah sana. Berdamailah.

Kita orang Melayu boleh bayangkan alangkah indahnya Dr. Mahathir boleh duduk semeja memuktamadkan penyatuan Melayu bersama pemimpin-pemimpin utama Melayu yang lain. Ia khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin-pemimpin kanan Melayu dari UMNO, Pas dan NGO yang lain.

Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Mujahid Yusof, Khalid Samad nak sertai sama pun, lagilah dialu-alukan.

Kita orang Melayu cukup yakin Februari lepas Dr. Mahathir sudah nampak apa yang berlaku sejak dua tahun terbukti `belang’ pihak di sana. Apabila sudah mendapat sedikit kuasa dengan jawatan, ketara sungguh `lagu’ parti-parti terbabit.

Orang Melayu! selamilah ungkapan keramat cendekiawan yang juga bekas pemimpin Pas, Dr. Burhanuddin Al-Hilmi.

Sewajarnya ia menjadi panduan anak bangsa mengenang kejatuhan empayar Melayu Islam Melaka kira-kira 500 tahun lalu di tangan Portugis (1511).

“Di atas robohan kota Melaka, mari kita bangunkan jiwa merdeka…” – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button