Tun M bukan baca dokumen mahkamah, kata Zahid
PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kertas yang dibaca oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam gambar tular di media sosial adalah dokumen akuan bersumpah yang dibawa oleh presiden parti yang hadir.
Ahmad Zahid menafikan dakwaan di media sosial kononnya kertas yang dibaca oleh bekas Perdana Menteri dalam gambar tersebut adalah dokumen mahkamah.
“Presiden parti yang hadir membawa SD dan bukannya dokumen mahkamah seperti ditulis beberapa orang. Saya hadir membawa mandat ahli dan pimpinan UMNO, tidak lebih daripada itu.
“Hanya mereka yg tidak mahu berfikir akan percaya fitnah-fitnah itu. Adakah dalam perjumpaan seramai itu akan dibincang hal peribadi sedangkan isu utama adalah mengenai perubahan kerajaan?
“Baru sahaja kita berpuasa sebulan tapi fitnah sudah menguasai kembali,” kata Ahmad Zahid.
Beliau mengulas fitnah yang bertebaran di media sosial kononnya Ahmad Zahid membawa dokumen untuk membuktikan beliau tidak bersalah.
Ahmad Zahid menjelaskan, gambar yang tular di media sosial adalah perjumpaan presiden parti-parti politik untuk mencadangkan agar Dr. Mahathir mewujudkan kerajaan perpaduan tanpa DAP, PKR (Anwar) dan Amanah.
“Itulah titik persamaan persetujuan bagi memulakan perbincangan.
“Namun sokongan ditarik balik apabila Tun M pada Selasa mencadangkan kerajaan perpaduan semua parti yang melanggar persetujuan awal,” jelas Ahmad Zahid.
BACA Foto Dr. Mahathir bertemu pemimpin UMNO, Pas, GPS, Warisan tersebar
BACA Cerita pertemuan di rumah Dr. Mahathir versi Akhramsyah
Sekeping gambar pertemuan antara Mahathir dan tujuh pemimpin Melayu dari Muafakat Nasional, Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak dan Parti Warisan Sabah tersebar di media sosial.
Dalam gambar berkenaan kelihatan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Turut kelihatan Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal, bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Mohd. Ali dan Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof.-SM