EkonomiNasional

Tun Arifin Zakaria dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan PNB yang baharu

dan Datin Norazah Razali sebagai ahli Lembaga Pengarah

Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) hari ini  mengumumkan pelantikan Tun Arifin Zakaria sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan  Nasional Berhad (PNB) dan Pemegang Amanah YPB berkuat kuasa semalam, 6 Mei 2021.

Tun Arifin adalah Ketua Hakim Negara antara tahun 2011 dan 2017 dan merupakan Ketua  Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dari tahun 2008 hingga 2011. Sebelum itu, Tun Arifin telah  berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Pejabat Kehakiman dan juga Jabatan Perundangan  Kerajaan Malaysia, termasuk sebagai Majistret, Presiden Mahkamah Seksyen, Peguam  Persekutuan dan Peguam Kanan Persekutuan, Penasihat Undang-undang kepada  Kementerian Perusahaan Utama dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam, serta Timbalan  Penggubal Parlimen dan Peguam Persekutuan Kanan Jabatan Hasil Dalam Negeri.

Tun Ariffin Zakaria

Pada  tahun 1992, Tun Arifin dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya,  dan dua tahun kemudiannya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya. Setelah itu beliau  ditugaskan ke Mahkamah Rayuan Malaysia pada tahun 2002 dan Mahkamah Persekutuan  Malaysia pada tahun 2005.

 

Tun Arifin mengikuti pengajian Undang-undang di University of Sheffield, United Kingdom  (UK) dan mendapat ijazah Sarjana Undang-undang (LL.M) dari University College London,  UK pada tahun yang sama beliau dipanggil ke English Bar.


YPB juga mengumumkan pelantikan Datin Norazah Razali ke Lembaga Pengarah PNB  berkuat kuasa pada 6 Mei 2021.

Datin Norazah Razali

Datin Norazah merupakan Penasihat Kanan di Boston Consulting Group (BCG), yang  berperanan menyokong dan menasihati perniagaan dan organisasi di seluruh Asia  Tenggara. Beliau membawa bersamanya lebih daripada 20 tahun pengalaman perundingan  strategik dan pengurusan yang mengkhususkan dalam transformasi perniagaan dan  organisasi, penstrukturan, strategi yang dipacu pertumbuhan, pengembangan bakat dan  kepemimpinan, serta tadbir urus. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Sarjana Pentadbiran  Perniagaan dari Sekolah Pengurusan, Imperial College London, UK.

“Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan PNB mengalu-alukan Tun Arifin dan  Datin Norazah ke Lembaga Pengarah PNB dan teruja menantikan sumbangan mereka  dalam mengawasi institusi dan aset yang diuruskan bagi pihak 14 juta rakyat Malaysia,” kata Ahmad Zulqarnain Onn, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB.

 

(Visited 71 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button