Tumpahan minyak jejas pendapatan 300 nelayan Tanjung Kling
MELAKA 20 Februari – Nasib malang terus menimpa kira-kira 300 nelayan di Pengkalan Tanjung Kling sejak akhir-akhir ini.
Sudahlah pampasan yang dijanjikan oleh Bruas Port Sdn. Bhd. untuk membayar pampasan ekoran pemanjangan jeti sepanjang 50 meter tidak diterima hingga kini.
Terbaharu, insiden tumpahan minyak daripada kapal yang berlabuh di Pelabuhan Tanjung Bruas berlaku malam Khamis lalu, telah menjejaskan tangkapan nelayan di situ.
Ketua Komuniti Nelayan Pengkalan Tanjung Kling, Aziz Japar berkata, nelayan yang turun ke laut keesokan harinya mendapati pukat hanyut, rawai dan jaring diselaputi tompokan hitam dipercayai tumpahan minyak daripada kapal yang berlabuh di pelabuhan tersebut.
Menurutnya, nasib kira-kira 300 nelayan di sini kian dihimpit keresahan apabila mata pencarian mereka terjejas berikutan insiden tumpahan minyak itu.
Katanya, nelayan mendakwa sebuah kapal yang berlabuh dengan sengaja membuang minyak mengakibatkan perairan dekat situ diselaputi tompok-tompok minyak hingga berlakunya pencemaran yang memberi kesan terhadap
mereka.
Menurutnya, ini bukan kejadian pertama berlaku di situ sebaliknya sudah kerap berlaku setiap kali kapal berlabuh di Pelabuhan Tanjung Bruas.
“Kita telah buat aduan kepada Jabatan Laut dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka pada malam kejadian tumpahan minyak didakwa oleh nelayan.
“Kejadian tumpahan minyak ini telah menjejaskan pendapatan nelayan dan kita sukar mendapat tangkapan jika
air tercemar daripada sehari boleh dapat RM100 tetapi sejak beberapa hari lalu dapatlah antara RM30 ke RM40 sahaja,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Kling, Khairulazni Baharuddin berkata, dia telah memaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka sejurus menerima aduan daripada nelayan ekoran tindakan kapal membuang minyak di pelabuhan tersebut.
“Saya dah minta JAS dapat memberi peringatan tegas kepada pemilik kapal yang berurusan di Pelabuhan Tanjung Bruas agar tidak sewenang-wenangnya membuang minyak di perairan dekat sini,” ujarnya.
Mengulas mengenai aduan tersebut, Pengarah JAS negeri, Rosli Osman berkata, hasil siasatan awal pihaknya menemui kesan tompokan lapisan nipis atas air berwarna pelangi serta ada sedikit bau dipercayai minyak
diesel.
Menurutnya, tiada kesan tompokan minyak hitam seperti yang didakwa nelayan dan lain-lain pencemaran yang berlaku di tempat kejadian.
“Kita tidak menemui bangkai hidupan seperti ketam, ikan, belangkas, obor-obor yang mati dan didapati aduan minyak tumpah bukanlah seperti mana video yang tular di media sosial,” ujarnya.