Nasional

Tubuh RCI siasat pemalsuan MyKad

KERAJAAN diminta menubuhkan suruhanjaya penyiasatan diraja (RCI) bagi meneliti kes  pengeluaran dokumen palsu Kad Pengenalan (MyKad) dengan lebih serius dan berfokus.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu itu bukan sahaja menimbulkan perhatian dan keprihatinan semua, malah turut mengundang kebimbangan dan spekulasi dalam kalangan banyak pihak.

“Dalam kekalutan kita memerangi COVID-19, satu isu penting yang sering kita dengar adalah berkaitan kes pengeluaran dokumen palsu Kad Pengenalan (MyKad),” katanya dalam kenyataan menerusi facebook.

Beliau berkatam RCI perlu bagi mengelakkan isu ini terus mengundang polemik dan dipolitikkan.

Melalui RCI katanya, isu itu boleh diteliti secara terperinci, lebih serius dan berfokus.

“Keperluan sedemikian adalah kerana, pertama, isu ini melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara. Maka, adalah penting untuk satu siasatan dan saranan yang bersifat berkecuali dan objektif dijalankan.

“Kedua, negara harus tahu sejauh manakah tahap keseriusan isu ini. Melalui laporan dan dapatan RCI, kita harap pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam jenayah pemalsuan dokumen dan sebarang bentuk prosedur kemasukan dan kewarganegaraan dikenal pasti, disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

“Tindakan mereka bukan sahaja memburukkan imej negara. Malah, meletakkan keselamatan dan kedaulatan negara dalam keadaan berisiko,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button