Berita

Pas mahu kerajaan batalkan pengecualian visa, utamakan keselamatan negara

PAS mahu kerajaan membatalkan keputusan untuk membenarkan pelancong dari China dan India masuk ke negara ini tanpa visa.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada menyelesaikan masalah lebih 95 peratus pelancong China dan India yang tiada rekod tarikh keluar antara 2016 hingga 2018.

“Jumlah sebenar yang didedahkan oleh Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) ialah melebihi 115,000 orang. Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 juga mendapati kira-kira 1.26 juta warga China dan 296,000 India sedang diproses secara manual di bawah MyIMMs.

“Lambakan pelancong warga China dan India yang bermastautin di negara ini mesti diselesaikan segera. Isu keselamatan telah menjadi prioriti utama berbanding sasaran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Pengecualian visa yang diberikan khusus kepada pelancong warga China dan India pada tahun 2016 dan 2017 perlu dihentikan supaya isu ‘pemastautinan’ mereka diselesaikan segera. Pas berpendapat keselamatan negara harus diutamakan terlebih dahulu,” katanya.

Tambahan pula, ujar beliau sebelum ini kita dapati banyak isu seperti sindiket penjualan dan pemalsuan MyKad, tangkapan hampir seribu warga China yang terbabit dengan ‘scam online’, penurunan had ambang pemilikan hartanah warga asing dan lambakan PATI.

Pas, katanya mahu Kerajaan Persekutuan tidak berkompromi dan mengambil mudah dengan kemasukan warga asing di negara ini.

“Masalah kritikal yang dihadapi ialah wujud kelemahan yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dan juga MyIMMs ketika pemprosesan di pintu-pintu masuk pelancong.

“Meskipun banyak syarat yang perlu dipatuhi, namun isu-isu yang dihadapi selama ini lebih besar. Pas mahu pengecualian visa tahun 2020 dibatalkan selagimana isu-isu tersebut masih belum diselesaikan,” katanya.

 

(Visited 103 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button