Nasionalpilihan

Tubuh jawatankuasa tangani kekurangan bekalan beras tempatan

Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi menangani isu kekurangan beras tempatan yang berlaku di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, satu mesyuarat akan diadakan esok membabitkan dua agensi utama iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka dan KawalSelia Padi dan Beras (KPB) negeri.

Menurutnya, pada mesyuarat esok satu garis panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan akan diwujudkan.

Beliau berkata, jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk memantau
pengeluaran masuk dan keluar beras dari luar ke negeri ini.

“Saya tidak menafikan berlakunya kegiatan menyorok beras tempatan di negeri ini namun tindakan tidak dapat dibuat kerana tidak mempunyai bukti kukuh.

“Kita dapat laporan daripada sebuah pasaraya di Jasin hari ini apabila
dimaklumkan mereka tidak mendapat bekalan beras tempatan walaupun kali terakhir memperolehnya pada 5 September lalu.

“Justeru mesyuarat esok dengan agensi terlibat adalah bagi membincangkan data sebenarnya kemasukan sebenar beras tempatan ke Melaka dan dihantar ke mana,” ujarnya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan Ops Jamin di sebuah pasaraya di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin.

Mengulas lanjut Muhamad Akmal berkata, bermula 15 September ini tiga syarikat pengilang beras akan dilantik untuk pembungkusan semula beras tempatan bagi menangani isu berkenaan.

Menurutnya, kekurangan beras tempatan berlaku berikutan kenaikan beras import dari India sebanyak 40 peratus hingga mendorong pihak pengilang dan pemborong cuba mengaut keuntungan.

“Kita akan berterusan menjalankan Ops Jamin bagi memastikan bekalan beras tempatan cukup di pasaran dan rakyat akan terus membayar dengan harga yang munasabah,” ujarnya.

Di samping itu beliau meminta jasa baik seluruh rakyat di negeri ini
untuk melaporkan dengan segera jika berlaku kekurangan beras tempatan kepada KPDN. – SM

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button