NasionalPendidikan

Tubuh Jawatankuasa Petugas pantau isu beg sekolah berat

 

ISU beg sekolah berat yang digalas oleh pelajar Tahun Satu mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Beliau berkata, pihak kementerian akan menubuhkan satu jawatankuasa petugas bagi memantau isu tersebut.

Selain isu beg sekolah berat, turut dipantau oleh jawatankuasa berkenaan kelak ialah penyediaan lokar; penyusunan semula jadual waktu; buku latihan; buku aktiviti dan kerja; buku teks digital; pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Jawatankuasa akan memantau tujuh pendekatan yang diumumkan dan jika tidak dilaksanakan dengan baik, ia tidak akan memberi impak optimum,” katanya.

Related Articles

Justeru kata beliau, kementerian akan memberikan tumpuan khusus kepada pelaksanaan semua pendekatan berkenaan.

“Dalam konteks ini, kementerian akan menubuhkan pasukan petugas yang akan melaporkan secara berkala pelaksanaan inisiatif untuk mengurangkan beban beg berat ini.

“Jawatankuasa ini akan melihat secara terperinci pelaksanaan di peringkat sekolah bagi memastikan kita dapat melaksanakan intervensi perlu sekiranya pelaksanaan tak berjalan sepertimana yang telah ditetapkan,” katanya yang dimuatnaik dalam hantaran video di Facebook hari ini

Terdahulu, Radzi mengumumkan tujuh pendekatan baharu bagi memastikan isu beg berat dapat ditangani sebaik mungkin terutama melibatkan murid Tahap Satu di sekolah rendah.

Tujuh pendekatan itu merangkumi penyediaan lokar; penyusunan semula jadual waktu; buku latihan; buku aktiviti dan kerja; buku teks digital; pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mengulas lanjut, Radzi berkata, KPM juga memerlukan kerjasama erat daripada ibu bapa bagi memastikan semua pendekatan yang diumumkan berjalan lancar.

Dalam konteks itu, Radzi memaklumkan, ibu bapa perlu membantu KPM dan pihak sekolah untuk memastikan murid hanya membawa buku berdasarkan jadual yang telah ditetapkan.

“Berdasarkan pemantauan kami, ramai anak-anak kita yang membawa hampir keseluruhan buku ke sekolah tanpa mematuhi jadual waktu yang telah ditetapkan pihak sekolah.

“Saya menyeru agar ibu bapa dapat bersama-sama memastikan pelaksanaan tujuh pendekatan ini dapat berlangsung dengan teratur dan berkesan bagi memastikan isu beg berat dapat kita selesaikan bersama,” katanya. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button