BeritaPendidikan

Graduan UniMAP disaran kembali sumbang untuk pembangunan universiti

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ts Dr Zaliman Sauli menyarankan para graduan untuk terus menyumbang kepada pembangunan universiti sebagai alma mater yang telah banyak menabur jasa kepada mereka secara sukarela melalui pelbagai kaedah.

Antara yang boleh dilaksanakan oleh para alumni UniMAP ialah sumbangan dana ke tabung endowmen dan wakaf universiti, sumbangan berdasarkan pengalaman, kedudukan dan kepakaran masing-masing dan; sumbangan dalam membantu menambah baik hubungan antara universiti dan industri tempat graduan telah bekerja.

Menurut beliau, pelbagai kaedah lain juga turut boleh disumbangkan dan bukan hanya tertumpu kepada sumbangan wang ringgit semata-mata. Sehubungan itu, besarlah harapan beliau agar para alumni dapat bersama-sama pihak pengurusan universiti dalam menjamin kelestarian serta memacu pembangunan UniMAP untuk jangka masa yang panjang.

Demikian diucapkan oleh Zaliman di Sidang Ke-4 Istiadat Konvokesyen 15 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada petang ini.

Seramai 246 orang graduan menerima anugerah ljazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) bagi jurusan-jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Pembuatan, Kejuruteraan Rekabentuk Produk serta Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian) bagi Pemesinan dan juga Sistem Pertanian daripada Tuanku Raja Puan Muda.

Antara penerima pada sidang kali ini ialah graduan Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Afiq Azman yang kini bekerja sebagai Pegawai Penyelidik di Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah turut menitahkan ucapan tahniah kepada para siswazah dan ibu bapa serta keluarga masing-masing atas kejayaan yang dikecapi dan bersama-sama Tuanku Canselor, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berdoa agar kejayaan akan terus mengiringi mereka walau di mana jua berada dan apa saja yang dilakukan.

(Visited 511 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button