Nasionalpilihan

Tubuh Geng Perpaduan tarik pengundi 18 tahun

Geng Perpaduan akan menjadi senjata utama buat pergerakan pemuda parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan untuk menarik pengundi 18 tahun (Undi18) meraih undi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penubuhan Geng Perpaduan akan dilancarkan sewaktu Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Ahad ini.

Menurutnya, penubuhan Geng Perpaduan membuktikan kesepakatan dalam kalangan parti-parti yang mendukung kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), terutama dua blok terbesarnya iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Ahad ini kita akan lancarkan Geng Perpaduan yang mana kita akan gunakan sayap pemuda parti-parti politik dalam Kerajaan Perpaduan untuk terlibat dalam gerak kerja PRN akan datang.

“Pengalaman dalam pilihan raya yang dimiliki oleh setiap sayap parti gabungan ini akan dikolaborasikan dalam menghadapi PRN kelak. Saya yakin, ia mampu memberi kekuatan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Ini juga akan membuktikan cakap-cakap yang mendakwa kononnya parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan ini goyah, maka ia boleh dibuktikan kerjasama erat dalam kalangan sayap pemuda parti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang Melaka di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhamad Akmal berkata, Geng Perpaduan akan dianggotai pemuda daripada BN, PH, Parti Warisan Sabah (Warisan), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Menurutnya, dijangkakan lebih 2,000 atau 3,000 pemuda Geng Perpaduan akan hadir demi masa depan Malaysia sewaktu majlis pelancaran Ahad ini.

Ahad lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang pertama bakal berlangsung pada 14 Mei ini.

Selain disertai parti komponen parti Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri dilaporkan berkata, pihaknya turut mengundang MUDA, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Sebelum ini Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN dan PH selaku sekutu dalam kerajaan perpaduan tidak berdepan krisis pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk PRN di enam negeri yang dijangka berlangsung seawal-awalnya Jun ini.

Kata Presiden UMNO itu lagi, kepemimpinan kedua-dua gabungan di negeri terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor hampir memuktamadkan pembahagian bagi mengelak berlakunya pertembungan. – SM

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button