Nasional

Tua, muda berduyun-duyun masuk lokap kerana langgar PKP

TIDAK kira tua atau muda, masih ramai yang ingkar melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Akibatnya berduyun-duyun mereka dihereta ke lokap dan seterusnya ke mahkamah untuk didakwa.

Hari ini sebanyak 98 individu termasuk warga emas serta seorang wanita yang tular kerana memaki polis dalam sekatan jalan raya Ops COVID-19, dihadapkan ke mahkamah di beberapa negeri.

Semua mereka melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesalahan yang paling banyak dilakukan ialah gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana kawasan jangkitan.

Mereka melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Ada juga didakwa kerana menghalang tugas penjawat awam dalam menjalankan fungsi mereka semasa tempoh PKP mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BERAMA melaporkan Di PAHANG, seramai 11 individu didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan termasuk seorang warga emas Jepun.

Tindakan Keiji Ando, 81, seorang pesara, merakamkan gambar burung di taman rekreasi di sini  membawa padah apabila didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara kerana melanggar arahan PKP.

Tertuduh didakwa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam mana-mana kawasan jangkitan iaitu dari Lorong Seri Teruntum, di sini, ke Taman Rekreasi  Taman Gelora, Tanjung Api, di sini, pada jam 6.20 petang, 27 Mac.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh memohon hukuman setimpal kerana tertuduh bukan berada di luar untuk membeli barangan keperluan tetapi melakukan hobinya semasa tempoh penguatkuasaan PKP.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan  (YBGK) Nur Hafidza Baharudin, yang mewakili lelaki itu, merayu hukuman denda minimum kerana  tertuduh merupakan warga emas dan ketika ditahan polis, dia baru saja sampai di taman rekreasi itu untuk mengambil gambar burung yang merupakan hobinya.

Sementara itu, sembilan individu termasuk seorang lelaki warga Indonesia, Utama Yuliandes, 25, dan seorang lelaki Myanmar, Shamsul Alam Boshir Ahmad, 32, serta seorang wanita tempatan berumur 40 tahun didenda antara RM800 sehingga RM1,000 atau penjara  tiga bulan kerana mengingkari arahan PKP.

Mereka masing-masing mengaku bersalah melakukan kesalahan itu antara 26 Mac hingga 31 Mac, di beberapa lokasi di bandar ini.

Di SELANGOR,  pengurus jualan wanita Tong Poh Kim, 44, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkelakuan kurang sopan dan menghalang tugas anggota polis dalam satu sekatan jalan raya Ops COVID-19.

Bagi pertuduhan pertama, Tong didakwa telah berkelakuan kurang sopan terhadap Kpl Izuan Hasim Nor Hamzah dengan berkata, ‘idiot’ (bodoh) terhadapnya pada 9.40 pagi, 31 Mac lepas di Jalan Persiaran Surian di sini, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman maksimum denda RM100, jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh menghalang Kpl Izuan daripada menjalankan tugas dan fungsi jawatannya di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan Tong diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei untuk sebutan semula kes.

Di KUALA LUMPUR, 10 lelaki dihadapkan di dua mahkamah kerana melanggar PKP. Di Mahkamah Majistret Selayang, sembilan lelaki termasuk dua warga emas mengaku bersalah ingkar PKP iaitu dengan sengaja berada dalam kawasan tempatan jangkitan tanpa alasan munasabah dan berhimpun bagi maksud sosial.

Enam lelaki masing-masing didenda RM850 atau penjara 15 hari manakala tiga lagi didenda RM900 atau penjara sebulan.

Kesemua tertuduh, berusia antara 20 hingga 61 tahun ditahan di lokasi berasingan di Tasik Taman Bersatu, Rawang dan Bandar Tasik Puteri, Gombak antara 10.15 pagi dan 12.45 tengah malam, pada 31 Mac dan 1 April lepas.

Di Mahkamah Majistret Ampang,  pekerja kilang kasut K. Dorai Nathan, 26,  didenda berjumlah RM5,500 atau tujuh bulan penjara selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan termasuk ingkar PKP dengan bergerak dari satu kawasan jangkitan ke tempat jangkitan lain di Taman Cheras Indah, pukul 2 petang, 26 Mac lalu.

Dia juga didakwa sengaja menghalang Koperal Amar Rusdi daripada menjalankan fungsi awamnya dalam menahannya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan juga melarikan diri daripada sekatan jalan raya mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, yang boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya. Kesalahan itu dilakukan di tempat dan masa sama.

Di PULAU PINANG, 50 lelaki berusia antara 20-an hingga 50-an didenda RM1,000 atau sebulan penjara oleh  Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Butterworth di sini atas pertuduhan melanggar arahan PKP.

Mereka didakwa keluar dari rumah bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1)  di daerah Seberang Perai Utara antara 30 Mac hingga 2 April lepas.

Kesalahan dilakukan tertuduh antaranya ialah melakukan aktiviti melepak, memancing, berkumpul di bengkel kenderaan serta ditahan semasa sekatan jalan raya kerana gagal memberikan penjelasan yang munasabah dan tiada surat kebenaran.

DI PERAK, 15 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh kerana mengingkari PKP. Seramai 13 individu berumur 18 hingga 34 tahun mengaku bersalah dan didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan manakala dua lagi tertuduh lelaki berumur  21 dan 23 tahun mengaku tidak bersalah.

Kesemua tertuduh termasuk seorang wanita ditahan di beberapa lokasi antaranya di Taman Beringin, Bandar Seri Botani, Jalan Wing Onn dan Taman Hock Lee pada 31 Mac.

Di NEGERI SEMBILAN, 11 individu termasuk tiga remaja bawah umur  didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini kerana gagal mematuhi PKP.

Di Mahkamah Majistret Port Dickson, T. Paandi Bakaran, 24 dan dua remaja lelaki bawah umur berusia 16 dan 19 tahun mengaku bersalah.

Paandi Bakaran dihukum penjara 10 hari dan juga didenda RM900 atau gagal membayar denda boleh dipenjara 20 hari kerana melanggar PKP. Dia melakukan  kesalahan itu di simpang masuk ladang Port Dickson-Lukut, pada 8.25 malam, 31 Mac lepas.           Mahkamah menetapkan 19 Mei untuk sebutan kes dua juvana itu sebelum menjatuhkan hukuman.

Juvana yang berusia 19 tahun turut didenda RM4,000 atau tiga bulan penjara  bagi kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Mereka melakukan semua kesalahan itu di  kilometer 11 Jalan Lukut-Sepang pada pukul 9.10 malam, 1 April lepas.

Di Mahkamah Majistret Tampin, tujuh lelaki dan seorang wanita berumur antara 20 hingga 43 dan remaja berumur 19 tahun didakwa melanggar PKP dan juga menghalang tugas penjawat awam

Kesemua mereka didenda RM300 hingga RM1,000 serta dipenjara 14 hari hingga sebulan.

Seorang daripada tertuduh M. Thanaselan, 47, bagaimanapun tidak hadir ketika prosiding dan waran tangkap terhadapnya dikeluarkan mahkamah.  – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button