Uncategorized

Pesawat TUDM bawa peralatan perubatan, kesihatan ke Sarawak, Sabah

PESAWAT A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melakukan penerbangan membawa peralatan perubatan dan kesihatan ke Sarawak serta Sabah untuk kegunaan kumpulan barisan hadapan dalam mendepani wabak COVID-19.

TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat pengangkut A400M itu membawa 100 unit kotak perlindungan, spesimen klinikal tambahan kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta peralatan perlindungan peribadi (PPE).

“Kotak perlindungan itu dihasilkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu sukarelawan bekas Putera Maktab Tentera Diraja dalam dua jenis iaitu intubasi (digunakan semasa prosedur intubasi endotrakeal) dan pensampelan (digunakan semasa prosedur mengambil swab).

“Peralatan ini bertujuan menghalang transmisi titisan daripada pesakit yang berkemungkinan mempunyai virus COVID-19 berjangkit kepada petugas perubatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bagi spesimen klinikal tambahan KKM terdiri daripada bekalan peralatan makmal, farmasi, PPE dan peralatan perubatan kritikal disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk kegunaan fasiliti pusat kesihatan di negeri tersebut.

Peralatan perubatan tersebut adalah dari KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), menurut kenyataan itu.

TUDM akan memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada kerajaan serta agensi-agensi lain dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19. – BERNAMA 

(Visited 333 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button