Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) merupakan satu-satunya Perdana Menteri (PM) yang berkhidmat tanpa ‘honeymoon period‘ semasa zaman pemerintahannya sehingga ke hari terakhir.
Itu pun beliau tidak meninggalkan habis tugasannya, komited melawan COVID-19 sehingga dilantik sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.
Mengapa Ketua Setiausaha (KSU) Sulit TSMY, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata demikian? Jawapannya kerana setelah menerima jawatan tersebut, Malaysia berdepan dengan COVID-19 yang semakin mengganas.
“Kalau ikutkan selepas dilantik sebagai PM, saya ingat dalam tempoh seminggu dua sahaja kita terus berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19.
“Saya lihat bagaimana kita (bersama TSMY) tiada masa untuk honeymoon (bulan madu). Biasanya ada honeymoon period. (Kita) tiada. Kita terus buat kerja,” katanya kepada portal ikatan.my baru-baru ini.
Marzuki berkata demikian menjawab soalan yang dikemukakan portal ikatan.my berhubung pengalaman bekerjanya sebagai KSU Sulit kepada TSMY sehingga kini.
Dalam wawancara itu, Marzuki turut mendedahkan TSMY meminta Menteri Kewangan supaya cari duit agar bantuan dapat diberikan semasa lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan.
“Dalam membuat keputusan lockdown, beliau tidak berhenti setakat itu sahaja. Kena fikir dari segi kehidupan rakyat. Kerana itu diumumkan banyak pakej-pakej rangsangan ekonomi.
“Kalau kita tutup sahaja sektor-sektor ekonomi, tidak benarkan orang pergi bekerja tetapi tidak disediakan bantuan, mungkin dalam seminggu boleh tahan lagi. Tetapi masuk dua minggu tiada pendapatan, tiada simpanan,” katanya.
Tambah Marzuki, TSMY harus memikirkan perkara ini kerana kebanyakan orang kita tidak menyimpan wang dan data menunjukkan mungkin kalau rakyat tidak bekerja, tempoh paling lama untuk bertahan cuma sebulan.
“Selepas itu dia tidak boleh bertahan lagi dan terpaksa meminjam duit untuk beli makanan. Jadi TSMY pada ketika itu meminta Menteri Kewangan supaya cari duit bagaimana hendak memberikan bantuan-bantuan ini.
“Akhirnya sepanjang kita berhadapan dengan pandemik ini, bukan setakat kita melaksanakan kawalan-kawalan pergerakan tetapi juga bantuan-bantuan diberi.
Hampir setiap golongan masyarakat terima bantuan daripada sejumlah RM530 billion pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat yang disediakan oleh kerajaan dalam tempoh 17 bulan,” ujarnya lagi.
Marzuki beranggapan strategi yang diperkenalkan TSMY adalah satu pakej rangsangan ekonomi yang terbesar dalam sejarah negara dan turut mendedahkan pada zaman Pakatan Harapan (PH), semuanya tiada duit.
“Kerana saya pun dalam PH pada masa itu, apabila disebut bantuan untuk rakyat jawapannya kita tiada duit. Tetapi rupa-rupanya ada duit. Kita duduk di situ rupanya ada duit yang kita boleh cari di mana-mana.
“Tujuannya adalah untuk membantu rakyat. Memanglah tahap hutang meningkat sedikit tetapi hutang ini kita boleh bayar apabila kita ada pendapatan,” katanya.
Tambah Marzuki lagi dalam pengurusan negara, yang penting ialah nyawa dan kehidupan rakyat yang terlibat dan mengenai hutang, ia boleh dibayar apabila ekonomi dibuka dan sumber pendapatan negara bertambah.