Trend ‘unboxing’ pengantin: Petanda suami dayus
SUAMI suami yang mengikuti trend ‘Unboxing pengantin’ selepas bernikah dianggap sebagai seorang lelaki dayus termasuk sanggup membuka tudung untuk mempertontonkan isteri yang baru dinikahi di khalayak.
Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun yang mengeluarkan pandangan itu turut terkejut dan sedih dengan trend tersebut yang dimuat naik beberapa pasangan muda yang baru sahaja bernikah dan masih memakai busana pengantin sehingga sanggup membuka tudung.
“Walaupun bukan sehingga tahap membuka pakaian seperti barat, namun saya tertanya tidak ada sekelumit perasaan malu dalam diri ketika memuat naik video,
“Ke manakah peranan seorang suami yang seharusnya menjaga maruah dan kehormatan rumah tangga yang baru sahaja dibina?,” pertanyaan Ustazah Asma’ di Facebook.
Katanya, budaya berkongsi sesuatu yang peribadi bagi suami isteri ini bukan ajaran dan tuntutan Islam namun mungkin ada yang terlalu gembira sehingga merasakan detik itu perlu dirakam dan dikongsikan kepada orang ramai.
Sedangkan kata beliau, ia sepatutnya disimpan kemas sebagai detik istimewa suami isteri.
“Islam sangat menitikberatkan tentang sifat malu pada diri seseorang, begitu juga buat suami isteri. Hikmahnya supaya tidak timbul fitnah (syahwat) kepada orang lain, rasa tidak senang orang sekeliling yang melihat atau mempengaruhi orang yang belum ada hubungan sah untuk turut melakukan perbuatan yang dihalalkan kepada suami isteri.
“Namun pesanan penting buat pasa suami peliharalah aurat dan maruah isteri, serta didik dirinya dengan taqwa dan sifat malu. Jangan sampai menjadi seorang suami yang dayus.
“Untuk kaum wanita pula, jangan biarkan diri kita terpedaya dengan kehendak nafsu sendiri, bimbang kelak bila sudah terlambat terpaksa menanggung penyesalan yang tiada kesudahan.
“Pasangan bukanlah objek yang layak diperlakukan sebegitu tanpa rasa segan atau mengaibkan. Sebagai ketua keluarga, suami perlu sedar dan tahu membezakan perkara yang baik di sisi agama ataupun sebaliknya. Bersederhanalah dalam ekspresikan kebahagiaan,” katanya di Facebook.