Trend bercuti sekarang lawat tempat menarik rakam foto
ADALAH sukar untuk kita mempercayai bahawa, manusia sekarang melancong dan mengembara hanya untuk makan, pemandangan, pengalaman hidup di kampung, melawat tempat-tempat menarik untuk bergambar dan juga fotografi.
Ia mempunyai nilai tersendiri dan Perlis yang kini sedang menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 mempunyai semua ini.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli bilangan ke-6 bagi tahun 2024 di sekitar Simpang Empat pada petang semalam.
Kayuhan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertujuan untuk menyantuni dan memberikan bantuan kepada asnaf terpilih yang turut disertai oleh ketua-ketua jabatan agensi dan swasta negeri ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan kepada Eisha Sulaiman, 82 dari Kampung Permatang Pauh, Ibrahim Shaari, 66 dari Kampung Mengkuang Layar dan Abdul Rahman Salleh, 63 dari Kampung Behor Lalang.
Setiap asnaf tersebut menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700 berserta Kits MAIPs peduli, beras fidyah dan sebuah kipas.
Sempena program tersebut juga Baginda berkenan singgah ke Sepat Biru Park Homestay yang terletak di Jalan Simpang Empat.
Homestay ini menawarkan privasi dan keselesaan kepada pelanggan, kolam mandi tertutup di tingkat atas, dikelilingi sawah padi dan pemandangan yang menarik.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan bengkel membaiki motosikal yang dimiliki oleh Muhamad Shahfaly Anuar yang merupakan usahawan asnaf yang telah terlibat dengan Projek Peningkatan Sosioekonomi Asnaf MAIPs.
Muhamad Shahfaly telah menerima bantuan kewangan RM4000 dan peralatan dari MAIPs sebelum ini bagi meneruskan perniagaan membaiki motosikal dan berterusan sehingga ke hari ini. – SM
BACA Nikmati makanan Thailand sambil berpeluang bercuti di Krabi
BACA Warga Malaysia di luar negara pulang bercuti dipelawa ke Perlis – Raja Muda