Treler ‘Pulau’ tidak sesuai untuk tontonan – Fahmi
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, treler filem seram Pulau itu tidak sesuai untuk ditonton.
Menteri itu bagaimanapun berkata beliau tidak boleh bercakap bagi pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana ia berada di bawah Kementerian Dalam Negeri.
“Saya dimaklumkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) baru sahaja mengeluarkan kenyataan mengenai treler itu tetapi tidak menyentuh penapisan. Semua prosedur operasi standard yang dipatuhi oleh Finas dalam pembikinannya adalah berdasarkan komunikasi antara LPF dan Finas,” katanya pada tayangan eksklusif filem aksi Duan Nago Bogho di sini, semalam.
“Kita mungkin perlu melihat semula beberapa prosedur ini kerana jelas bahawa terdapat pelanggaran. Saya juga telah mengetahui bahawa LPF telah memberikan kelulusannya pada September tahun lepas, sebelum saya mengambil alih jawatan menteri.”
Fahmi berkata, dia telah menghubungi rangkaian pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) dan diberitahu bahawa penerbit filem itu telah memutuskan untuk menarik balik treler itu dalam beberapa hari akan datang.
“Ada kemungkinan beberapa adegan yang telah dipotong, dimasukkan ke dalam treler.”
Dilaporkan baru-baru ini bahawa Finas tidak meluluskan tayangan treler itu, yang sejak itu menjadi viral dan telah dikecam oleh netizen kerana adegan “eksplisit dan tidak senonoh”.
Pulau akan ditayangkan pada 9 Mac dan diterbitkan bersama oleh WebTVAsia, My Way Pictures dan Filmforce Studio.
Diarahkan oleh Euho, ia dibintangi oleh Amelia Henderson, Alif Satar, Sanjna Suri, Namron dan Evelyn Feroza antara lain.