Nasional
Tragedi kepala air: Mayat isteri ditemukan, anak bongsu masih hilang
Mayat wanita yang terlibat dalam tragedi lima sekeluarga yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Seri Kembangan telah ditemukan hari ini.
Ia disahkan oleh Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan melalui satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat Juliana, 38, yang lemas semasa menjala ikan bersama suami, Ahmad Suriadi, 40, telah ditemukan oleh pasukan penyelamat pada tengah hari Isnin.
Mayat wanita tersebut dibawa naik ke darat pada pukul 1.20 tengah hari dan jenazahnya telah disahkan oleh Ahmad Suriadi.
“Mayat Juliana ditemukan di Lombong D’Island berhampiran Taman Lacattage, Putra Perdana, dekat sini kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.
“Usaha mengesan mangsa terakhir iaitu anak bongsu mangsa bernama Riska Amelia, 4, masih giat dijalankan di sekitar lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan lima sekeluarga dibawa arus deras ketika menjala ikan di saliran longkang monsun, di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan, pada Ahad.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, sepasang suami isteri warga Indonesia dan tiga anak mereka yang berusia antara empat hingga 10 tahun dilaporkan sedang menjala di kawasan tersebut.
Kejadian itu menyebabkan kelima-lima mangsa tergelincir dan terjatuh, sebelum dihanyutkan ke sungai berhampiran.
Bagaimanapun suami dan anak lelaki kedua keluarga itu yang berusia sembilan tahun selamat, manakala anak sulung pasangan itu berusia 10 tahun ditemukan lemas pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian. – SM