Berita

Tragedi dunia akademik, cendekiawan…

Analisis

KALAU tiada angin, masakan pokok bergoyang.

Apabila Naib Canselor (VC) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar diarah bercuti serta-merta bermula bulan ini sehingga kontrak perkhidmatan beliau tamat pada April 2020, sudah tentu kita rakyat di luar UMT pelik habis.

Apabila terjadinya sesuatu hal tentu ada sebabnya.

Kalaulah benar bagai dihebohkan, tindakan mencutikan selama empat bulan Dr. Nor Aieni kerana dikatakan mempunyai hubung kait dengan tindakan beliau yang kurang bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu menggabungkan UMT dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), punca atau alasan ini begitu amat menyedihkan kepada dunia akademik dan cendekiawan.

Di Jerman, United Kingdom dan India, VC-VC serta pensyarah di sana bebas bersuara dan tidak terlibat dalam politik.

Dulupun sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa, ada sebilangan VC `tidak boleh tidur sangat’ sebab banyak campur tangan pihak luar. ‘Mereka’ ini mengawal VC sehinggakan ada VC tidak disambungkan kontrak.

 

BUKAN ‘YES MAN’

Ini dilakukan secara halus. Mungkin Menteri Pendidikan waktu itu tak kisah untuk “tidak campur tangan” tapi ada pihak lain yang kisah. Di kementerian waktu itu, budaya `bawa mulut’ ini sangat tidak profesional.

KPM di bawah Dr. Maszlee Malik, Suara Merdeka sangkakan akan ada perubahan khususnya dari aspek profesionalisme, persepsi dan komunikasi kalangan peringkat pegawai kementerian terhadap kebebasan bersuara di universiti. Malangnya apa yang terjadi terhadap Dr. Aieni amat mengejutkan sekali.

VC seharusnya bebas untuk bersuara. Tidak boleh jadi yes man agar kebaikannya nanti, menteri mendapat nasihat yang sebenar. Bukannya sesuatu atas kehendak kementerian.

Pelantikan VC-VC di universiti awam yang kira-kira 20 universiti jumlahnya ini sepatutnya bukanlah berdasarkan politik. Tetapi melalui proses pemilihan dan temuduga yang ketat oleh lembaga pemilih.

 

GOVERNMENT OF THE DAY

Ya, prinsip yang terasas kepada mana-mana VC adalah menyokong government of the day. Cuma, janganlah keterlaluan tindakan diambil terhadap VC andai beliau berbeza pendapat, meluahkan sesuatu yang difikirkan bermanfaat untuk kebaikan dan survival universiti.

Bermain politik di universiti harus dihentikan. Seharusnya ditumpukan pada kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) di universiti yang perlu dijadikan produk.

Di Korea Selatan dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, universiti-universiti di sana begitu agresif melatih pensyarah-pensyarah mereka hingga ke peringkat doktor falsafah (Ph.D). Sebab itu Korea menjadi negara maju walaupun suatu ketika tahap Malaysia dan Korea sama.

Ranking universiti tetap penting. Mana-mana universiti antarabangsa akan melihat aspek itu sebagai tanda aras `mana letaknya’ kedudukan universiti itu di Malaysia.

 

‘PENASIHAT’ MENTERI?

Wahai KPM, sekarang ini ada segelintir orang yang sudah lama dalam pendidikan menjadi `penasihat’ menteri. Kebanyakan mereka sudah `terlajak’ umur dan tidak terkait dengan kemajuan terkini dunia pendidikan.

Kebanyakan jadi yes man sahaja.

Arus pendidikan hari ini berubah pantas dan hanya VC sahaja yang update (kemas kini) diri mereka.

Mereka yang menjadi ‘penasihat’ KPM ini barangkali sangat senior. Malangnya telah tertinggal dunia pendidikan masa kini.

Apa yang terjadi terhadap Dr. Nor Aieni suatu tragedi buat dunia akademik dan cendekiawan.

– SUARA MERDEKA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button