Berita

TPM diingatkan bantu pekebun Cameron Highlands seperti janji PRK Cameron Highlands dulu

MCA mendesak satu penyelesaian politik ke atas petani Cameron Highlands sebagaimana dijanjikan oleh Timbalan Perdana, Datuk Seri Wan Azizah semasa pilihan raya kecil tempoh hari.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, pekebun-pekebun berkenaan telah diarahkan oleh kerajaan supaya mengosongkan kawasan tanaman mereka yang telah mereka terokai di sekitar Lembangan Sungai Ichat, Sungai Tiang dan Sungai Bertam, Cameron Highlands.

Sehubungan itu, kata beliau, MCA mendesak agar Majlis Keselamatan Negara , yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri  bersama dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri  Wan Rusdi menyelesaikan isu berkenaan dengan memberi perhatian kepada kerugian ekonomi dan kesengsaraan dihadapi oleh para petani terbabit.

MCA, kata beliau, menghormati hak kumpulan petani yang telah membawa perkara itu ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan, tetapi berpendapat berpendapat adalah lebih baik perundingan diadakan di antara pihak plaintif dengan pihak berkuasa bagi mencapai situasi menang-menang.

“Keputusan pencerobohan atas Ops Lestari 2 dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengenepikan janj-janji politik pemimpin-pemimpin Pakatan khususnya dari DAP yang berjanji Kerajaan Pusat Persekutuan yang dikuasai mereka akan melindungi pekebun-pekubun ini semasa PRK P078 (Cameron Highlands) pada awal tahun ini.

“Mereka telah mengatakan kuasa MKN adalah di bawah PH dan bukannya BN. Tindakan perobohan yang diambil atas arahan pihak Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri untuk meneruskan Ops Lestari 2 bermula bulan ini adalah bertentangan dan satu lagi kemungkiran janji PH dan DAP apabila keputusan perobohan dibuat oleh Jawatankuasa Khas Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri bersama Menteri Besar Pahang,” dalam kenyataan hari ini.

MCA, kata beliau, faham dan menghormati tindakan undang-undang ke atas kesemua mereka yang terlibat yang telah diberikan notis seawal bulan Febuari 2018 sehingga Mac 2019, dan alasan bahawa tindakan diambil akibat pelanggaran syarat-syarat Pemilikan Sementara yang menyebabkan ketiga-tiga sungai tersebut tercemar dengan teruknya.

MCA juga, kata Lian Ker, ingin mengingatkan Timbalan Perdana Menteri tentang janji politik PH dan DAP yang berkali-kali berjanji untuk melindungi dan membantu para pekebun di Cameron Highlands yang dikenakan tindakan atas arahan kerajaan pusat PH supaya pembersihan dan perobohan kebun mereka dibuat oleh kerajaan negeri.

“Sudah tiba masanya Wan Azizah menggalas tanggungjawab PH dan menunaikan janji politik mereka sekarang,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button