Tommy Thomas auta?
Haniff Khatri berkata, dakwaan Tommy Thomas bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak cadangan Datuk Seri Wan Azizah Wan Azizah sebagai Perdana Menteri adalah diragui.
Peguam kepada Dr. Mahathir itu berkata, tulisan Tommy lebih kepada pandangan berkepentingan politik bukan profesional sebagai bekas Peguam Negara.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa sebagai seorang peguam negara pada ketika itu, iaitu jawatan tertinggi perundangan dalam negara, Tommy Thomas sepatutnya tahu dan faham konsep sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat kepada mana-mana Perdana Menteri mesti ada pada setiap masa, untuk seseorang Perdana Menteri itu, untuk kekal sebagai Perdana Menteri menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Kata beliau, apabila berlakunya Langkah Sheraton pada 23 Februari tahun lalu, iaitu satu fakta Tommy tidak wajar dipertikai kerana sekumpulan wakil rakyat dari Pakatan Harapan diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bersatu dan Datuk Seri Azmin Ali dari PKR menarik sokongan kepada Dr. Mahathir menyebabkan Dr. Mahathir terpaksa mengadap Yang di-Pertuan Agong, sebelum meletakkan jawatan.
Ini bermakna, kata beliau, dakwaan Dr. Mahathir sengaja meletakkan jawatan adalah tidak benar.
“Dari sudut keperluan Perlembagaan, menurut Perkara 43(4) itu, Dr. Mahathir wajib mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk meletakkan jawatan seperti yang dilakukan pada 24 Februari tahun lalu,” katanya.
Beliau juga terkejut apabila Tommy menyatakan keputusan melantikan Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri menjadi keputusan perlembagaan yang betul.
“Seorang Peguam Negara pada masa itu, sedangkan jika pada hakikatnya Pakatan Harapan sudah hilang majoriti, maka sesiapa sahaja Menteri Kanan, mahupun Timbalan Perdana Menteri, tiada mempunyai hak untuk terus mentadbir negara dalam kapasiti sebagai Perdana Menteri secara automatik selepas itu, sebab Pakatan Harapan sudahpun hilang majoriti untuk kekal sebagai Kerajaan,” katanya.
Kata Haniff, perkara asas berkaitan kedudukan Perdana Menteri itu, seharusnya dalam pengetahuan mana-mana Peguam biasa.
“Ia boleh menimbulkan persepsi – Adakah catatan dan pandangan Tommy dicemari dengan fahaman, pegangan dan sokongan politik semata-mata,” katanya.
Tommy katanya, juga mendakwa Dr. Mahathir campur tangan dan berkeras ingin menjadi perdana menteri sementara selepas Yang di-Pertuan Agong mencadangkan Dr Wan Azizah Wan Ismail menyandang jawatan itu, juga tidak benar dan mencemar nama baik Agong.
Haniff juga mempertikaikan jika Tommy berpandangan apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir tidak mengikut Perlembagaan, mengapa beliau tidak menasihatkan perdana menteri ketika itu.
Haniff juga mempersoal profesionalisme Tommy apabila mendedahkan intipati urusan dengan anak guamnya kepada umum kerana ia mencemarkan integriti guaman apabila dibuat secara semberono.
Dr Mahathir Mohamad didakwa campur tangan dan berkeras ingin menjadi perdana menteri sementara selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mencadangkan Dr Wan Azizah Wan Ismail menyandang jawatan itu, kata Tommy.
Dalam pendedahan menerusi buku memoirnya My Story: Justice In The Wilderness, bekas peguam negara itu turut menyifatkan Mahathir sebagai punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Punca utama kegagalan hubungan gabungan PH disebabkan pemimpinnya, perdana menteri Mahathir. Pemimpin PH bertanggungjawab atas kegagalan ini,” tulis Thomas.
Dia juga menganggap sokongan yang diberikan pelbagai lapisan masyarakat kepada ahli parlimen Langkawi pada peringkat awal kerajaan PH juga sebagai luar biasa.
Pada masa sama katanya tindakan Mahathir meminggirkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim – yang dipersetujui bersama untuk dilantik sebagai perdana menteri kemudiannya – juga tidak disenangi.
“Yang memburukkan lagi keraguan (Anwar) untuk jadi perdana menteri jelas pada tahun pertama pentadbiran PH, ketika hubungan perdana menteri dengan musuh utama Anwar dalam PKR, Azmin.
“Tindak balas PH yang disifatkan tidak aktif dan lambat berhubung isu perkauman dan agama juga membuahkan keputusan pelik dari perdana menteri,” kata Tommy.