EkonomiNasional

TNB meterai PPA dengan dua penjana tenaga solar

TENAGA Nasional Bhd (TNB) memeterai perjanjian pembelian tenaga fotovolta Solar Skala Besar (LSS) dengan dua syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh pembida berjaya di dalam proses persaingan bida bagi projek Fasa 3 LSS.

Dalam laporannya kepada Bursa Malaysia, TNB berkata, ia telah memeterai satu perjanjian dengan Coara Solar Sdn Bhd dan firma berpangkalan di Jerman, ib vogt GmbH untuk mengendalikan satu projek di Marang, Terengganu.

Perjanjian kedua pula ialah dengan TTL Energy Sdn Bhd dan firma berpangkalan di Perancis, ENGIE Energie Services SA untuk projek di Kerian, Perak.

Kedua-dua projek tersebut dijadual memulakan operasi komersial, masing-masingnya pada 15 November 2021 dan 31 Disember 2021.

Proses bidaan itu dikelola oleh Suruhanjaya Tenaga pada suku pertama 2019 untuk pembangunan, antaranya projek LSS sambungan pemancaran.

“Setiap syarikat tujuan khas akan mereka bentuk, membina, memiliki dan menyenggara fasiliti penjana tenaga fotovolta dengan kapasiti diluluskan di tapak lokasi yang dicadangkan,” kata TNB.

“PPA itu menggariskan kewajipan pihak-pihak terlibat untuk menjual dan membeli tenaga yang dijana oleh fasiliti tersebut bagi tempoh 21 tahun daripada tarikh operasi komersial, seiring dengan terma dan syarat yang dipersetujui seperti di dalam PPA,’’ tambahnya.

Menurut TNB, pemeteraian PPA itu tidak memberi sebarang kesan kepada modal berbayar dan diterbitkan kumpulan dan kepentingan para pemegang saham utama.

Ia akan memberi impak neutral ke atas perolehan TNB sepanjang tempoh PPA kerana kos penjanaan dipindahkan sepenuhnya di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif, kata TNB.

Saham TNB semalam ditutup 8 sen atau 0.7% lebih tinggi pada RM11.56, dengan permodalan pasaran sebanyak RM65.95 bilion. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button