Nasional

Kerajaan pandang serius isu ubah suai Jata Persekutuan

KERAJAAN memandang serius penyalahgunaan dan pengubahsuaian Jata Persekutuan oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran.

Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, yang menegaskan ia merupakan kesalahan di bawah Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

JPM dalam satu kenyataan berhubung penggunaan tidak wajar Jata Persekutuan memetik Seksyen 3 (1) Akta 414 yang menyatakan: “Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis Menteri.”

Ia melibatkan mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata atau apa-apa tiruan serupa mengenainya bagi maksud apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.

Ia juga memperuntukkan larangan untuk mengguna bagi maksud, atau memperagakan sebagai suatu iklan bagi, apa-apa perniagaan, perdagangan, pekerjaan atau profesion, atau menjual apa-apa fotograf, lukisan atau rupaan lain gambar Yang di-Pertuan Agong atau Raja Permaisuri Agong.

Ini juga termasuk larangan mengguna atau terus mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata, atau apa-apa tiruan serupa mengenainya, dalam tajuk apa-apa paten, atau dalam apa-apa cap dagangan atau reka bentuk; atau membuat bagi maksud jualan atau menjual atau ada dalam miliknya untuk dijual, apa-apa lambang ternyata.

“Mana-mana pihak yang melanggar penggunaan Jata Persekutuan boleh didakwa dan dikenakan hukuman di bawah Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 Seksyen 3 (1),” kata JPM.

Jata Negara merupakan lambang rasmi kerajaan Malaysia yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952.

Sebuah buku yang menggunakan visual mirip Jata Negara mendapat perhatian kebelakangan ini apabila dikatakan menghina Jata Negara.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik telah membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang terlibat. – BERNAMA

(Visited 415 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button