NasionalNegeriTravel

TMM 2024: Melaka terima 150,000 pengunjung

TAHUN Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) menunjukkan tanda-tanda positif apabila lebih 150,000 pengunjung dan pelancong mengunjungi Melaka sempena Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68 Selasa lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, jumlah tersebut menjanjikan kejayaan TMM2024 terutama mereka yang mengunjungi 11 produk pelancongan yang menawarkan tiket masuk percuma.

“Saya amat berbangga atas usaha semua dalam menjayakan sambutan pada 20 Februari yang lepas, di mana bumi bertuah ini telah menerima seramai hampir 150,000 pengunjung.

“Saya amat berbesar hati dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudi hadir pada 20 Februari yang lepas sempena Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu kali ke-68.

“Kehadiran pemimpin utama dan terpenting ini membawa rahmat dan berita baik kepada rakyat Negeri Melaka dalam usaha untuk kita memacu Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Negeri Melaka 2024 di Jonker Walk, malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman.

Ab. Rauf berkata, sambutan Tahun Baru Cina kali ini buat julung-julung kalinya kerajaan negeri mengadakan kelainan dengan mengadakan sambutan itu di Jonker Walk yang menyaksikan kira-kira 30,000 pengunjung hadir.

Menurutnya, sambutan kali ini merupakan manifestasi kepada nilai kesepaduan dan kebersamaan sebagai rakyat Malaysia merangkumi pelbagai agama dan bangsa.

“Kita semua berkongsi di bawah satu payung yang sama iaitu kekeluargaan Malaysia MADANI yang amat signifikan dengan unsur keharmonian dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, konsep mesra penjaja melibatkan seramai 323 penjaja diketengahkan pada sambutan kali ini.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menghadiahkan kupon makan bernilai RM15.00 seorang kepada 10,000 orang yang terawal membeli makanan ‘street food’ di seluruh kawasan Jonker Walk.

Terdahulu, sambutan yang bermula pada pukul 8.00 malam itu turut dimeriahkan pelbagai segmen persembahan bagi menghiburkan pengunjung tempatan serta pelancong asing.

Antara pengisian persembahan menerusi segmen-segmen tersebut adalah seperti Orkestra Tradisional Cina oleh Persatuan Teo Chew Melaka, Sketsa Peranakan, Paluan Gendang 24 Musim serta persembahan wushu. – SM

BACA TMM2024 mampu perkasa semula pelancongan Melaka

(Visited 24 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button