Nasional

TMJ bantu Ebit Liew

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kagum dengan usaha pendakwah popular Ustaz Ebit Lew dalam menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan dari seluruh negara, termasuk di negeri ini.

Tunku Ismail dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi milik baginda bertitah, Ustaz Ebit Lew sering menolong rakyat terutamanya golongan asnaf dan daif yang memerlukan bantuan dengan sumbangan dan usaha-usaha kebajikan.

“Antara aktiviti-aktiviti sumbangan yang paling saya kagumi adalah usaha beliau dalam membantu rakyat dengan peralatan perubatan, bekalan makanan dan barang keperluan asas.

“Saya juga telah memberi sumbangan kepada usaha kebajikan Ustaz Ebit Lew agar beliau dapat membantu lebih ramai lagi rakyat yang memerlukannya,” katanya dalam kenyataan itu.

Baginda bertitah demikian ketika menerima kunjungan pendakwah itu di kediaman rasminya di Istana Bukit Pelangi, di sini hari ini.

Baginda turut meluahkan harapan agar usaha Ustaz Ebit Lew sentiasa dirahmati dan diberkati Allah.

Sementara itu, Ustaz Ebit Lew dalam entri dimuat naik menerusi laman Facebooknya pula memberitahu, Tunku Ismail menyumbang sebanyak RM200,000 bagi membantu menjayakan misi kemanusiaan dilakukannya.

Katanya, Tunku Ismail turut meluahkan hasrat untuk menaja keseluruhan pasukannya menjalankan ibadah umrah.

“Ya Allah TMJ sangat baik. Raja yang kuat memikirkan keadaan rakyat Johor dan seluruh Malaysia. Tadi panjang berbual berbincang bagaimana nak bantu orang susah dan menjaga agama Islam. Mendidik anak muda. Naikkan institusi pendidikan.

“Saya malu sangat. Serius terharu terkesan akhlak dan sifat TMJ. Bayangkan dilayan macam kawan sahaja. Sedangkan saya cuma orang biasa. Daripada awal lagi masa beri bantuan Tuanku selalu beri semangat pada saya.

“Kami selalu bermesej juga. Kata baginda paling berharga, ustaz teruskan kebaikan ini walau orang tak suka. Kita hidup bukan untuk popular tapi berjaya. Bantu rakyat. Sedangkan usaha saya ini amat kecil dibandingkan usaha TMJ. Raja Johor,” ujarnya.

Sementara itu, Ebit Lew turut memaklumkan pihaknya berminat untuk mengikuti jelajah Kembara Mahkota Johor suatu hari nanti.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button