Nasional

Timbang betul-betul, fikir masak-masak sebelum buka semula IPT

AHLI akademik dan para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sama ada awam mahupun swasta disarankan agar mempertimbangkan sebaik-baiknya sebelum menuntut pihak Kementerian Pendidikan membuka kembali IPT sepertimana pembukaan semula sekolah-sekolah.

Pertimbangan ini perlu diambil kira bagi memastikan segala risiko berkaitan dengan wabak COVID-19 dapat dikekang sebelum jumlah mangsa yang terkena wabak ini, kembali meningkat angkanya dalam negara kita.

Segalanya bermula dengan susulan daripada pengumuman pihak Kementerian Pendidikan membuka kembali sekolah dengan garis panduan yang ditetapkan.

Sedangkan SOP penjarakan sosial yang diterapkan dalam kalangan masyarakat kita, ada yang mengambil mudah, inikan pula untuk membuka semula IPT-IPT yang SOPnya belum ditentukan lagi yakni apakah perlu ada SOP khusus untuk para pelajar IPT dan kakitangan termasuk tenaga pengajar.

Berikut adalah laporan portal berita Malaysia Kini yang dipetik untuk dikongsi dengan pembaca SUARA MERDEKA berhubung pembukaan IPT.

Susulan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) atas pembukaan kembali sekolah dengan garis panduan yang ditetapkan, beberapa mahasiswa serta pensyarah turut menggesa perkara yang sama dilaksanakan di institusi pengajian tinggi (IPT).

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Atira Khalisha Nor Adnan berkata, IPT perlu dibuka kerana terdapat beberapa subjek yang memerlukan interaksi bersama pensyarah secara berhadapan.

“Bagi saya kerajaan atau pihak universiti perlu membuka universiti seperti biasa dengan adanya SOP.

“Hal ini kerana adanya subjek-subjek yang memerlukan pelajar untuk belajar di studio. Jadi, disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, pembelajaran tersebut tidak dapat dijalankan dan pelajar tahun akhir juga tidak mempunyai pengalaman di industri (internship),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Senada dengan Atira, penuntut sebuah IPT awam Ammierul Mukminin Mohammed turut berkata, pembelajaran atas talian – yang kini dilaksanakan oleh semua tenaga pensyarah kepada pelajar- tidak kondusif.

“Memandangkan sekolah bakal dibuka seperti biasa, maka pusat pengajian tinggi perlulah dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) agar mahasiswa dapat meneruskan pengajian seperti biasa.

“Kerana pembelajaran atas talian tidak kondusif serta kurang efektif kepada mahasiswa terutamanya yang berasal dari luar bandar,” katanya.

Selain itu, Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Ahmad Farhan Rosli turut menggesa hal yang sama dan mencadangkan IPT mengutamakan penuntut kursus tahun akhir untuk kembali menyambung pengajian terlebih dahulu.

“Kami memang harap universiti dibuka tetapi lebih bagus bagi mematuhi SOP kita berikan keutamaan kepada pelajar tahun akhir yang perlu menyiapkan projek mereka ataupun thesis supaya dapat menamatkan pengajian.

“Kalau kita lihat, semester terakhir ini antara yang paling sukar, kerana mereka memerlukan banyak konsultasi dengan pensyarah secara berhadapan,” katanya lagi.

Hari ini, KPM telah mengeluarkan garis panduan bagi pembukaan sekolah baru.

Bagaimanapun, hanya pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam akan dibenarkan untuk kembali ke sekolah apabila ia dibuka semula manakala yang lain pula akan menjalani pembelajaran dari rumah.

Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad telah memaklumkan bahawa pengajian di universiti awam akan diadakan melalui atas talian sehingga 31 Disember 2020.

Sementara itu, pensyarah Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kartini Aboo Thalib (gambar, bawah) berkata pembukaan semula IPT boleh dipertimbangkan sekiranya selepas 9 Jun nanti perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berakhir dengan selamat.

Bagaimanapun, jelas Kartini, jika penularan masih pada tahap bahaya, pihak pensyarah akan akur dan meneruskan pembelajaran atas talian kepada pelajar.

“Jika rantaian Covid-19 masih menjadi ancaman dan PKPB masih berkuatkuasa universiti akan patuh, dan pengajaran atas talian boleh diteruskan,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button