Tiket box seat RM15,000 tonton Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity
PENGANJUR atau Concert Presenter bagi Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity yang bakal diadakan pada 26 Januari tahun depan yakin tiket bernilai RM15,000 untuk box seat di Zepp Kuala Lumpur tidak akan menghadapi masalah untuk dibeli oleh ahli-ahli yang bernaung di bawah Malaysia Shipowners’ Association (MASA).
Hanya ada 8 box seat yang memuatkan 8 individu, Pengurus Besar MASA, Mohd Helmi Zaharudin berkata, dari pihak MASA, ada ahli dalam kalangan korporat yang akan beli box seat, khas untuk mereka.
“Tiket box seat ini tidak dibuka kepada public. MASA ada menjalin kerjasama strategik dengan korporat dan apabila digabungkan dengan peminat tegar Sweet Charity, semua orang akan enjoy,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan petang semalam.
Dengan keyakinan yang begitu tinggi daripada pihak Penganjur atau Concert Presenter berkenaan, para peminat Sweet Charity sudah tentu mahu melihat empat anggota kumpulan kesayangan ramai ini beraksi di atas pentas selama dua jam setengah di Zepp Kuala Lumpur.
Ramai yang tahu bahawa ada tujuh orang anggota asal dalam Sweet Charity dan kalau hari ini, mereka hanya tinggal empat orang sahaja, ia sejajarlah dengan usia mereka.
Sedangkan usia Datuk Ramli Sarip melepasi angka 70, sudah tentulah Rosli Mohalim, Rahman Sarbani dan Ahmad Jaafar (AJ) pun sudah memasuki usia warga emas.
Itu jika diukur hanya pada usia mereka tetapi kekuatan atau energy yang akan dipaparkan oleh the last four man standing dalam Sweet Charity ini dipercayai padu!
Kata Datuk Ramli atau lebih mesra dengan panggilan Abang Ramli dalam kalangan wartawan hiburan tempatan, selama 55 tahun anggota-anggota dalam Sweet Charity ada kerja masing-masing.
Sebab itulah beliau tampil sebagai penyanyi solo kerana berkarya adalah kerjaya Abang Ramli.
“Kalau saya tidak tampil solo, tidak akan ada lagu Doa Buat Kekasih, misalnya.
“Jadi masing-masing anggota Sweet Charity ada kerja masing-masing. Namun kerja saya ialah berkarya dan selepas lima dekad, Sweet Charity akan mengadakan konsert pada tahun depan,” katanya menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar yang sama, petang semalam.
Kata Abang Ramli, pada hari Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity nanti, ditampilkan pemuzik sokongan terdiri daripada Rozario Rasul, Eddie Cradle dan Din Safari.
Mereka bukan sahaja tampil sebagai pemuzik sokongan sebaliknya akan dinilai oleh para penonton yang hadir menyaksikan konsert pada 26 Januari nanti sama ada para pemuzik ini hadam sebagai Sweet Charity.
Seperti biasa, apabila mengadakan persembahan selama dua jam setengah, setiap lagu Sweet Charity berdurasi antara lima ke tujuh minit.
Namun kata Abang Ramli, untuk konsert, boleh sahaja susunan muzik dibuat sehingga 20 minit yang mana, itu tidak akan berlaku!
“Jadi secara hitung kasarnya, akan didendangkan 25 buah lagu termasuk tiga lagu baharu yang akan diperdengarkan pada hari konsert nanti,” katanya.
Kapasiti penonton di Zepp Kuala Lumpur hanya 2,500 orang dan Penganjur MASA pula tidak berani memberi jaminan, Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity akan diadakan selama dua malam berturut-turut.
Jawapan cliché yang diberi oleh Mohd Helmi apabila diaju soalan tersebut kepada beliau, “Tengok bagaimana sambutannya.”
Tiket-tiket untuk menyaksikan Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity bermula dengan harga RM180, RM308 dan RM388.
Pengurus Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity digalas oleh Juriah Banding dari Rasa Karya Sdn Bhd manakala Mewah Event Management, Aida Husin bertanggungjawab menguruskan media.
Untuk membeli tiket Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity boleh layari www.ilassotickets.com.my atau hubungi hotline +60 11-1329 7822.
Tiket RM180 (Batu – Free Standing), RM308 (Sejuta Wajah – Normal Seat), RM388 (Zakiah – Premium Seat) dan RM15,000 bagi VIP Box Seat. – SM