Jenayah

Tiga sekeluarga maut kereta bertembung pacuan empat roda

TIGA sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia dua tahun maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di KM74, Jalan Ipoh-Gerik dekat Kampung Kuak, Sauk, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 malam, mangsa yang maut adalah pemandu kereta jenis Toyota Vios iaitu Abdul Hakim Hashim, 32, yang juga Jurutera Majlis Perbandaran Manjung, isterinya, Nurul Huda Arifin, 31, yang bekerja sebagai Penolong Jurutera Pertanian dan anak mereka berusia dua tahun, Adib Aidan.

Dua terselamat ialah seorang lagi anak pasangan itu, Ammar Aiman, 4, yang mengalami kecederaan ringan serta pemandu Toyota Hilux, lelaki berusia 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ibrahim berkata, ketika kejadian, keluarga itu sedang menuju ke arah Gerik dari Kuala Kangsar sebelum pemandu Toyota Hilux yang dipandu seorang penyelia pembalakan yang datang dari arah bertentangan, dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan mereka hingga berlaku pertembungan.

“Akibat pertembungan itu, Toyota Vios telah berpusing lalu memasuki parit di bahu kiri jalan dan mengakibatkan semua mangsa tersepit di dalam kereta dan mangsa wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Semua mangsa termasuk pemandu Toyota Hilux yang mengalami luka pada lutut kanan dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar namun pemandu Toyota Vios meninggal dunia pada pukul 12.15 tengah malam (ketika menerima rawatan) manakala seorang anaknya pula meninggal dunia kira-kira lima minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razali berkata, bedah siasat ke atas mangsa yang maut akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar pada pagi ini manakala pemandu Toyota Hilux itu telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, darah dan urin penyelia pembalakan itu telah diambil untuk ujian toksikologi manakala kenderaan terlibat turut ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button