Bencana alamLuar Negara

Tiga maut, 24 cedera dalam gempa bumi di Sulawesi

GEMPA bumi kuat 6.2 Skala Richter di Sulawesi Barat, Indonesia, awal pagi tadi, dikhuatiri mengorbankan lebih ramai mangsa dengan tiga disahkan maut setakat ini, berikutan berlakunya runtuhan rumah dan bangunan.

Menurut kenyataan Badan Pengurusan Bencana Daerah (BNPD) Kabupaten Majene dan Polewali Mandar, berdasarkan data sementara yang diperoleh, setakat 9 pagi ini, tiga disahkan meninggal dunia, 24 cedera dan lebih 60 rumah dan bangunan runtuh.

Pasukan mencari dan menyelamat dilaporkan sedang mengesan mangsa-mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.

Menurut Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, gempa bermagnitud 6.2 Skala Richter itu berlaku pukul 1.28 pagi waktu Indonesia barat, berpusat di 6km Timur Laut-Majene-Sulawesi Barat pada kedalaman 10km.

Sejak semalam, kawasan berkenaan merekodkan beberapa siri gempa bermagnitud sederhana di bawah 6 Skala Richter.

Menurut BNPD Kabupaten Majene dan Polewali Mandar, gempa itu berlaku sekitar lima hingga enam saat, menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan panik dan bergegas keluar dari rumah.

Bagaimanapun, gempa berkenaan tidak mencetuskan ancaman tsunami dan setakat ini dilaporkan lebih 2,000 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button