Tiga calon muda BN Perak jadi tumpuan
IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak menampilkan tiga wajah baharu bagi pencalonan kerusi Parlimen pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang mana nama-nama mereka mula menarik perhatian umum.
Mereka ialah Cally Ting calon BN Parlimen Gopeng; Mohd. Shafiq Fhadly Mahmud (Larut) dan Datuk Khairul Azwan Harun (Pasir Salak).
Mohd. Shafiq Fhadly merupakan Ketua Koordinator Media BN manakala Khairul Azwan yang lebih dikenali sebagai Azwanbro adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak.
Dalam itu apa yang menarik semasa nama-nama calon BN diumumkan semalam, tepukan paling gemuruh diberikan pada calon Parlimeg Gopeng, Cally Ting.
Apabila namanya diumumkan bertanding
oleh Pengerusi BN Perak, Dato’Seri Saarani Mohamad, sorakan dan tepukan bergemuruh diberikan.
Dewan utama Pusat Konvensyen Aman Jaya di Bandar Meru Raya itu gamat dengan tepukan lebih 1,000 ahli-ahli BN yang hadir sebagai tanda sokongan kepada beliau.
Cally yang sebelum ini merupakan Penyelaras MCA Parlimen Gopeng merupakan salah seorang calon muda yang diketengahkan BN pada PRU ini.
Ketika ditemui, Cally berkata, dia dengan rasa rendah diri memohon sokongan penuh warga Gopeng pada PRU ke-15 kali ini.
“Terima kasih kepada kepimpinan parti atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan. Kepercayaan mereka memberi keyakinan pada saya untuk menggalas cabaran ini.
“Saya akan berkerja bersama-sama untuk memastikan kesejahteraan hidup, kemakmuran dan masa depan yang cerah pada penduduk Gopeng,” ujarnya.
Sementara itu, tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Gopeng ditandingi calon BN masing-masing Sungai Rapat, Datuk Hang Tuah Din, Simpang Pulai (Ir. Dr. Wayne Lee) dan Teja (Liew Yee Lin).