BanjirBencana alam
Tidak timbul isu NADMA lewat koordinasi operasi menyelamat mangsa banjir
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyatakan bahawa tidak timbul isu pihak tersebut lewat mengkoordinasikan operasi menyelamat mangsa banjir, sebaliknya setiap tanggungjawab telah diberikan kepada semua agensi ‘responder’ lebih awal.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata mesyuarat berhubung pengurusan bencana pusat telah dijalankan pada 13 Sept dan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Semasa itu tanggungjawab kita berikan kepada semua agensi ‘responder’. Jadi mereka sudah faham dan tahu fungsi-fungsi yang perlu lakukan, sekiranya berlaku sesuatu bencana.
“Bencana ini ada tiga tahap, yang pertama tempatan di daerah. Tahap kedua melibatkan lebih banyak daerah dan satu negeri, manakala tahap ketiga ialah tahap negara atau melibatkan dua atau tiga negeri. Jadi masing-masing sudah tahu,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad di Taman Sri Muda, semalam.
Beliau berkata jika sesuatu bencana berlaku di peringkat negeri, kerajaan negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri yang mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, akan mengambil alih pengemblengan semua agensi yang terlibat, untuk mengatasi sesuatu bencana.
“Jadi tak perlu lah kata (sama ada koordinat atau tidak). Koordinasi longgar tidak berlaku dan dari semasa ke semasa kita akan turun memantau kesediaan negeri-negeri.
“Untuk negeri di pantai timur contohnya, mereka bergerak satu langkah kehadapan dengan adanya simulasi, sebab tahun ini kita ada bencana dalam bencana (banjir dan COVID-19 serentak),” katanya.
Beliau turut menafikan laporan berita sebuah media yang mendakwa NADMA menghalang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) beroperasi, kerana tidak disytiharkan darurat.
“Saya baru lepas bercakap dengan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain tengah hari tadi dan saya berbincang baik dengan beliau. Tan Sri berkata kenyataan itu tidak datang daripada beliau dan daripada pasukan tentera.
“Maka saya mengandaikan ada yang mereka cipta perkara ini dan sebenarnya hubungan kami adalah baik,” katanya.- BERNAMA