Politik

Tok Mat nafi jadi calon PM Muafakat Nasional

TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan dirinya telah dipilih sebulat suara sebagai calon perdana menteri bagi  Muafakat Nasional.

Mohamad berkata, berita yang dilaporkan oleh sebuah portal dalam talian kononnya dia adalah calon perdana menteri untuk Pilihan Raya ke-15 merupakan berita tidak benar.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu meminta masyarakat agar berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat yang disebarkan dalam talian.

“Sila ambil maklum. Ini adalah berita palsu. Berita palsu ‘lebih cepat’ tersebar berbanding virus Covid-19. Berhati-hatilah,”kata Mohamad.

Dalam laporan yang disiarkan pada 22 Januari lalu, portal tersebut mendakwa nama Mohamad telah disenaraikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuarat baru-baru dan telah mendapat undian  paling tinggi.

“Nama Tok Mat telah disenaraikan sebagai calon PM bagi Muafakat Nasional dan telah mendapat undian yang tertinggi berbanding calon-calon yang lain.

“Tidak hairanlah apabila Tok Mat mengumumkan akan bertanding di Parlimen Rembau, bukan sahaja ahli-ahli UMNO di bahagian itu yang kegirangan tetapi juga disambut oleh para penyokong UMNO dan Pas di seluruh negara.

“Malahan mereka yang berada di atas pagar juga menyambut baik keputusan tersebut, yang dianggap sebagai satu langkah permulaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu untuk menduduki Putrajaya,” lapor portal tersebut.

Kali terakhir MKT UMNO bermesyuarat adalah pada 6 Januari lalu dan nama Mohamad atau pencalonnya sebagai perdana menteri tidak langsung disebut dalam kenyataan akhbar yang diedarkan kepada media sebaik sahaja mesyuarat itu tamat kira-kira pukul 11.30 malam.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button