Tiada solat tarawih di Masjidilharam dan Masjid Nabawi Ramadan ini
KERAJAAN Arab Saudi akan menyambung larangan bersolat di dua masjid suci sepanjang bulan Ramadan ini bagi membendung penularan virus corona atau Covid-19.
Ini bermakna pada tahun ini tidak ada sembahyang tarawih di Masjidilharam dan Masjid Nabawi sepanjang Ramadan tahun ini.
Presiden Jeneral bagi hal ehwal dua masjid suci itu, Sheikh Dr. Abdulrahman Abdulaziz Al-Sudais berkata, bagaimanapun Masjdilharam di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah akan terus mengumandangkan azan seperti biasa.
“Tetapi kedua-dua masjid ini terus ditututup kepada para jemaah,” katanya dalam twitter seperti yang dipetik daripada Arab News.
Pihak berkuasa Arab Saudi pada bulan lalu meningkatkan langkah berjaga-jaga mengawal penularan Covid-19 termasuk meningkatkan kerjasama antara pihak yang terbabit demi keselamatan para jemaah.
Situasi sama berlaku di Malaysia di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka akan diteruskan hingga hujung Mei, yang mana tiada solat berjemaah dibenarkan di masjid dan surau termasuk solat tarawih pada Ramadan ini.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah pun bertitah tempoh penangguhan solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti-aktiviti ceramah dan kuliah di semua masjid, surau dan musolla di Negeri Selangor dilanjutkan sehingga 31 Mei.
Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan Baginda terhadap keselamatan 6.5 juta penduduk negeri di negeri itu selepas melihat kepada perkembangan semasa statistik kes jangkitan Covid-19 di seluruh Selangor.
Namun demikian, jika sekiranya wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal maka satu arahan baru akan dikeluarkan.
“Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zuhur dan solat-solat fardhu serta solat sunat Tarawih pada bulan Ramadan tahun ini hendaklah dilakukan di rumah masing-masing,” titah Sultan Sharafuddin.
Baginda menegaskan adalah sangat penting supaya semua rakyat mematuhi perintah tersebut bagi mengelakkan rakyat daripada berhimpun atau berkumpul yang boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.
ultan Sharafuddin turut menyeru rakyat supaya terus memperbanyakkan doa agar Negeri Selangor dijauhi dari wabak penyakit dan bala bencana yang boleh menyebabkan kematian.
Baginda turut mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan 1441 Hijrah dan menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam.
“Semoga semua amal ibadat yang dilakukan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wata’ala,” titah Sultan Sharafuddin. – SM