Politik

Tiada sebab saya untuk khianati parti yang saya tubuh – Muhyiddin

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan beliau tidak pernah mengkhianati parti itu.
“Saya yang tubuhkan parti ini. Jadi tidak ada sebab untuk saya khianat kepada parti yang saya sendiri tubuhkan,” kata Perdana Menteri.
Katanya beliau sendiri telahpun melalui fasa jatuh dan bangun dalam politik yang menjadi sebahagian daripada asam garam kehidupan yang perlu beliau terima.
“Ada kalanya saya di atas. Ada kalanya saya di bawah. Kali ini Allah SWT memberikan kepada saya satu amanah besar untuk memimpin parti dan kerajaan. Pengalaman mengajar saya bahawa kedudukan, pangkat dan kuasa adalah sementara. Ia bukanlah kurniaan untuk kita bermegah-megah.
“Ia juga bukan hak untuk kita miliki selama-lamanya. Tetapi kuasa pemerintahan adalah satu amanah berat untuk kita pikul,” kata Muhyiddin dalam perutusan bersempena persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian Bersatu 2020.
Perutusan tersebut dimuat naik melalui sebuah video di laman Facebook rasmi Muhyiddin hari ini.
Muhyiddin yang juga pemangku pengerusi parti berkata apa sahaja jawatan yang dipegang di dalam parti, merupakan amanah yang mesti dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
“Bagi yang kalah dalam pertandingan dan tidak memegang apa-apa jawatan, jangan kecewa, jangan merajuk. Teruslah istiqamah dalam perjuangan. Dalam perjuangan politik, jatuh bangun itu adalah perkara biasa.
“Buktikan keikhlasan dalam berjuang. Insya-Allah saudara-saudari akan berpeluang untuk terus berbakti kepada parti, bangsa dan negara,” katanya.
Pemilihan Bersatu membuka tirai hari ini membabitkan sayap Armada, diikuti Srikandi esok manakala pemilihan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi pula akan berlangsung semasa persidangan peringkat bahagian yang dijadualkan 22 Ogos ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button