Nasional

IMR kesan virus mutasi D614G pada Kluster Sivagangga, Ulu Tiram

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesan virus mutasi jenis D614G daripada ujian pengasingan dan kultur virus COVID-19 pada tiga kes Kluster PUI Sivagangga dan satu kes daripada Kluster Ulu Tiram.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor HIsham Abdullah tiga kes Sivagangga yang mempunyai virus mutasi itu merupakan kontak rapat kepada kes indeks manakala kes Kluster Ulu Tiram melibatkan seorang warga Filipina.

“Setakat ini kedua-dua kluster ini didapati agak terkawal hasil pelbagai tindakan kawalan kesihatan awam yang pantas di lapangan.

“Ujian ini adalah ujian awal dan terdapat beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji beberapa kes yang lain, termasuk bagi kes indeks bagi kedua-dua kluster ini,” kata Dr. Noor Hisham.

Mutasi D614G ditemui oleh saintis pada Julai 2020 dan kata Dr. Noor HIsham, berkemungkinan akan menyebabkan kajian vaksin sedia ada tidak merangkumi atau tidak berkesan terhadap mutasi tersebut.

Justeru beliau berharap rakyat kekalkan kaedah menggunakan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam iaitu berdisiplin dalam mengamalkan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Masyarakat perlu terus melakukan penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat.

Keputusan ujian itu mengesahkan kebimbang Dr. Noor Hisham sebelum ini terhadap kluster Sivagangga yang bermula di Kedah disyaki ada kaitan dengan genom Covid-19, yang dikenal pasti sebagai perebak utama (super spreader) di Mesir dan Pakistan.

Menurutnya, KKM  mendapati kluster tersebut  yang dikesan daripada pemilik sebuah kedai nasi kandar di Jitra – tersebar “sangat cepat” berbanding kluster lain di negara ini.

“Yang kita lihat sekarang kluster ini merebak dengan cepat dibandingkan sembilan kluster di Sarawak dan sebagainya.

“Kajian sedang dijalankan sama ada kita sedang menghadapi satu kluster iaitu genome 614, iaitu kluster super spreader,”  kata Noor Hisham dalam sidang akhbar pada 6 Ogos lalu.

Mutasi D614G, yang dipercayai oleh pakar kesihatan seluruh dunia sebagai strain Covid-19 yang lebih mudah merebak berbanding yang lain.

Perebak utama atau super spreader adalah istilah yang merujuk kepada strain Covid-19 yang mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi dan digunakan untuk merujuk pesakit positif yang menyebarkan penyakit itu kepada sebilangan besar individu lain.-SM

 

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button