Nasional

Tiada lagi Samy Vellu…

KHABAR mendukacitakan diterima pagi ini apabila figura politik bagi parti MIC, Tun Samy Vellu meninggal dunia pada usia 86 tahun di rumahnya.

Tiada lagi bekas seorang Menteri Kerjaraya yang menghiburkan kalangan wartawan meja berita sekitar mendiang menjawat jawatan sebagai Menteri dan Presiden MIC.

Taring MIC di bawah pimpinan Samy Vellu berbisa dengan menjaga kepentingan kaum India di Malaysia.

Sebagai Wakil Rakyat, kata orang lama di Sungai Siput, Perak, sebelum bergelar Tun, Datuk Seri Samy Vellu tidak mengabaikan penduduk kawasan Sungai Siput.

Kalau ada yang tak pernah dengar cerita orang kampung Sungai Siput tentang Samy Vellu, penulis nak cerita untuk pengetahuan pembaca SUARA MERDEKA.

Kisahnya ada seorang pakcik tak ada duit nak bayar bil elektrik. Dia pergi ke pejabat Wakil Rakyat dan Samy memang ada di pejabat di situ.

Pakcik dapat jumpa Samy dan bagitau apa masalahnya. Kata Samy Vellu kepada pakcik, “Jangan susah hati, pakcik. Itu bil letrik tarak banyak, angkat ini wang, kasi bayar,” kata Samy sambil menyeluk saku seluarnya dan memberi pakcik itu duit.

“Terima kasih Datuk. Lebih ni Datuk bagi,” kata pakcik.

“Tak pa. Beli makan, beras ka, gula ka, minyak ka. Pakcik angkat wang ini,” jelas Samy kepada pakcik.

Ya, itu sedikit kisah Samy Vellu dengan orang kampung Sungai Siput ketika mendiang masih aktif dalam politik.

Jenaka yang terpacul daripada kata-kata Samy Vellu tidak ada pada menteri-menteri lain.

Beliau pernah jadi Menteri Tenaga dan Pos. Pengenalan sistem Pos Laju dirasmikan oleh beliau di bangunan Daya Bumi, Kuala Lumpur.

Bagi memberitahu wartawan yang hadir membuat liputan pelancaran Pos Laju Malaysia betapa efisyen perkhidmatan yang disediakan dengan kepantasan serahan kiriman kepada pengguna, sepatutnya Samy kata, “Kita pos hari ini, esok sampai.”

Tetapi entah macamana, beliau tersilap kata, “Kita pos ini hari, SEMALAM sampai!”

Menyedari kekhilafan ayatnya, Samy juga tersenyum apabila penulis sendiri tergelak namun beliau tidak marah atau telefon Ketua Pemberita RTM untuk mengadu wartawan RTM tergelak sebab beliau silap cakap.

Samy perbetulkan ayatnya dan beliau senyum melerek kerana merasakan kesilapan itu memang melucukan. Bukan pun beliau sengaja.

Kerjasama Samy kepada pemberita memang terbaik kerana jika beliau tahu, pemberita RTM menemubual atau nak ulasan lanjut, secara automatik, beliau akan bercakap dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Tamil (untuk siaran berita Tamil) dan Bahasa Inggeris.

Beliau memudahkan tugas seorang pemberita dan akan menjawab soalan-soalan sebanyak mungkin.

Itulah Tun Samy Vellu. Jasamu dikenang dan jenakamu sentiasa dalam hati. Salam takziah buat keluarga Mendiang Tun Samy Vellu. – SM

 

(Visited 338 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button