Tiada lagi amalan lantikan Menteri sebagai ganjaran – Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mereka yang akan dilantik ke barisan Kabinetnya tidak lama lagi bukan berdasarkan sebagai ‘ganjaran’ kerana menyokongnya.
Perdana Menteri berkata, lantikan Kabinet termasuk penasihat atau Duta Khas tidak dipilih semata-mata menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya.
“Saya mahu menghentikan amalan melampau yang menjadikan lantikan ke jawatan menteri sebagai satu bentuk ganjaran kerana menyokong saya.
“Saya mahu mereka (anggota Kabinet) yang menyokong saya berdasarkan polisi yang dibawa serta komitmen untuk tadbir urus yang baik, menentang rasuah dan membangunkan ekonomi negara,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022, hari ini.
Anwar menegaskan beliau tidak akan berganjak dengan keputusan awalnya untuk mengurangkan saiz Kabinet dan tidak ada lantikan secara besar-besaran seperti yang berlaku di bawah pentadbiran
kerajaan terdahulu.
“Saya tidak mahu meneruskan lantikan besar-besaran sehingga ada 70 menteri dengan penasihat khas dan sebagainya,” katanya lagi.
Sehubungan itu jelasnya, pengumuman barisan Kabinet akan dibuat dalam masa terdekat ini kerana beliau masih berbincang dengan parti-parti komponen lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan yang
diterajuinya.
Setakat ini kata Anwar lagi, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta wakil Barisan Nasional (BN).
“Hari ini saya akan bertemu dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor serta Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bagi membincangkan
perkara sama,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar enggan mengulas lanjut mengenai saiz Kabinet itu termasuk dari segi bilangan kementerian atau menteri yang akan diumumkan dalam masa terdekat. – SM