Politik

Tiada keperluan berunding dengan Filipina

MALAYSIA sepatutnya tidak perlu mengadakan sebarang rundingan dengan Filipina berhubung tuntutan negara itu ke atas Sabah sejak kebelakangan ini.

Ini kerana perkara itu hanya akan memperlihatkan Malaysia seolah-olah meingktiraf tuntutan Filipina apabila bersetuju untuk berbincang mengenai tuntutan tersebut.

Langkah tersebut termasuklah tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang dikatakan membawa tuntutan itu ke Mahkamah Timbang Tara di Sepanyol.

“Saya dengan tegas menyatakan tiada asas dan tidak relevan bagi Filipina membuat tuntutan ke atas Sabah.

“Sabah adalah milik Malaysia sejak Perjanjian Malaysia 1963 termeterai dan ia diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan antarabangsa lain.

“Ketika saya memjadi Menteri Luar, Filipina tidak pernah menjadi sebegini lantang dalam tuntutannya terhadap Sabah.

“Ini semua kerana kelemahan Ketua Menteri yang memberi ruang termasuk rundingan dan perundangan kepada Filipina.

“Tindakan sedemikian secara automatik memberi petanda seperti mengiktiraf tuntutan yang dibuat negara itu.

“Pendekatan saya adalah tidak mengiktiraf sebarang tuntutan sedemikian.”

Kata bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataannya malam tadi berhubung tindakan Filipina menuntut Sabah sebagai sebahagian daripada negara mereka.

Mutakhir ini, berlaku penularan beberapa maklumat dan gambar peta didakwa daripada Filipina yang menyatakan Sabah adalah sebahagian daripada mereka.

Malah terdapat beberapa kenyataan daripada pegawai kanan kerajaan negara itu menyatakan Sabah bukan di Malaysia.

Dalam pada itu, Anifah turut mempersoalkan keperluan Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri yang membawa perkara itu ke peringkat perundangan antarabangsa.

Menurutnya, tindakan sedemikian berisiko sekiranya Mahkamah Timbang Tara membenarkan tuntutan tersebut dan mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Filipina.

“Tindakan yang dilakukan Mohd. Shafie melayan tuntutan tersebut di peringkat perundangan antarabangsa seolah-olah memperjudikan nasib dan kedaulatan Sabah.

“Saya ingin bertanya kepada beliau, sekiranya mahkamah berkenaan mengeluarkan keputusan yang memihak kepada Filipina, apakah beliau dan pasukannya akan lakukan?

“Beliau akan menjadi orang yang akhirnya menyerahkan Sabah begitu sahaja,” tegasnya.

Tambah Anifah lagi, Mohd. Shafie kurang pengetahuan tentang diplomasi antarabangsa.

Kata Presiden Parti Cinta Sabah itu, Mohd. Shafie tidak patut hanya tahu bermain politik sahaja sehingga membahayakan kedaultan Sabah.

“Saya menasihatkan Ketua Menteri untuk ambil masa bagi mempelajari ‘bahasa’ hubungan diplomatik.

“Atau biarkan perkara itu diuruskan oleh mereka yang lebih arif bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang menjejaskan kedaulatan Sabah pada masa akan datang,” jelasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button