‘Thismia burung hantu’ tumbuhan aneh pertama di dunia
PERTAMA kali tumbuhan berbunga menyerupai burung hantu dijumpai di Terengganu dan juga merupakan tumbuhan aneh pertama di dunia seumpama itu.
Tumbuhan itu telah dinamakan Thismia latiffiana dan turut digelar “Thismia burung hantu’ dalam bahasa tempatan
Memetik laporan Sinar Harian, jurugambar dan penyelidik bebas dari Terengganu, Suzairi Zakaria, 46, berkata, tumbuhan yang bersaiz kira-kira 12 milimeter(mm) tersebut dinamakan Thismia latiffiana sebagai tanda penghormatan kepada ahli botani dan pemuliharaan terkemuka di Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad.
Jelasnya lagi, Thismia latiffiana dikategorikan sebagai tumbuhan terancam kerana hanya ditemukan di satu lokasi sahaja setakat ini.
“Hasil penyelidikan mendapati spesies baharu itu berbeza daripada semua spesies Thismia lain dan status pemuliharaannya dikategorikan sebagai tumbuhan terancam.
“Mengikuti kategori dan kriteria oleh senarai merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN 2019), spesies ini dinilai sebagai terancam secara kritikal kerana setakat ini hanya ditemukan di satu lokasi sahaja,” katanya.
Suzairi berkata, terdapat 95 spesies Thismia telah dikenalpasti diseluruh dunia setakat ini dan 16 spesies telah diiktiraf di Semenanjung Malaysia dengan sebahagiannya dijumpai di Terengganu.
Tambahnya, Thismia latiffiana merupakan spesies kesembilan daripada keluarga Thismiaceae yang telah ditemukan di Terengganu.
“Lapan spesies lain yang ditemukan di Terengganu ialah T.alba, T. arachnites, T. asereo, T. domei, T. javanica, T. ornata, T. sitimariamiae dan T. terengganuensis.
“’Thismia latiffiana, T. domei, T. sitimeriamiae dan T. terengganuensis merupakan empat sepsis baharu yang ditemui di Terengganu.
“Terengganu juga menemukan dua lagi spesies sebagai rekod baharu iaitu T. arachnites dimana pertemuan pertama di Perak namun ia tidak dapat dikesan lebih sejak 100 tahun lalu serta T. ornata yang pertama kali ditemukan di Borneo,” katanya.
Menurut Suzairi, pada Disember 2019, ‘Thismia burung hantu’ telah ditemukan di hutan simpan sama yang turut dihuni spesies lain iaitu T. sitimeriamiae,” katanya.
Beliau berkata, sebelum diisytiharkan sebagai penemuan baharu, tumbuhan itu telah dihantar ke Kepong Herbarium (KEP) bagi semakan status teksonomi terlebih dahulu.
“Proses pengisytiharan tumbuhan itu sebagai spesies terbaharu memakan masa yang lama kerana perlu melalui kajian secara saintifik malah sehingga kini para pengkaji masih menjalankan kajian berhubung biologi tumbuhan ini secara lebih mendalam.
“Selepas membandingkannya dengan semua spesies Thismia yang ada, tumbuhan ini di dapati tidak sepadan dengan mana-mana spesies dan dikategorikan sebagai spesies baharu yang tidak direkodkan di tempat lain,” katanya.
Dalam pada itu, Suzairi berkata, khazanah biodiversiti tersebut perlu dipelihara agar ia tidak pupus begitu sahaja ekoran penerokaan hutan atau pembalakan secara tidak terkawal. -SM