Thailand siapsiaga hadapi kemunck gelombang Covid-19
MENURUT pakar, kemuncak gelombang pandemik Covid-19 dijangka berlaku pada pertengahan bulan depan, April.
Sehubungan itu, Thailand perlu bersiap sedia dalam beberapa minggu lagi untuk berhadapan dengan kemuncak pandemik Covid-19.
Pengarah Biro Komunikasi Risiko dan Pembangunan Tingkah Laku Kesihatan Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Dr. Sumanee Watcharasin berkata, angka kes Covid-19 di negara itu dijangka terus meningkat apabila varian Omicron semakin merebak.
“Kes harian Covid-19 dijangka memuncak pada pertengahan April dan beransur turun pada Mei,” katanya pada taklimat harian Covid-19, hari ini.
Beliau berkata, jangkitan harian boleh mencecah 100,000 pada pertengahan April ini bergantung pada langkah berjaga-jaga Covid-19 yang diterima pakai serta pematuhan orang ramai terhadap pelbagai langkah pencegahan virus.
Dalam 24 jam terakhir Thailand merekodkan 23,618 kes baharu Covid-19 melalui ujian RT-PCR dan 49 kematian.
Ia menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kepada 2,958,162 kes dan 23,070 kematian.
Tambahnya, dalam tempoh yang sama, sejumlah 42,138 orang disahkan positif Covid-19 melalui kit ujian antigen. Bagaimanapun, angka itu tidak dimasukkan dalam pengiraan harian. – SM