Ekonomi

TH lantik Mohamad Damshal sebagai Pengarah Eksekutif (Pelaburan)

Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelantikan Mohamad Damshal Awang Damit sebagai Pengarah Eksekutif (Pelaburan) baharu berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, TH berkata Mohamad Damshal sebelum ini adalah Ketua Pegawai Pelaburan TH dan berpengalaman lebih 27 tahun dalam industri pelaburan tempatan dan luar negara.

Katanya beliau seorang penganalisis kewangan bertauliah (CFA) serta bekas anggota TH yang berkhidmat sejak 1999 hingga 2003 dalam perancangan korporat dan mengetuai pengurusan pelaburan pendapatan tetap.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof berkata pengurusan kanan yakin kepakaran beliau dalam aspek pelaburan dapat membantu TH menghadapi persekitaran ekonomi yang sangat mencabar berikutan kesan daripada pandemik COVID-19.

“TH juga sedang menumpukan usaha untuk melahirkan lebih ramai bakat pengurusan profesional selaras dengan matlamatnya untuk menjadi sebuah institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus,” katanya.

— BERNAMA

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button