Nasional

Teruskan perjuangan mendiang Liew Vui Keong

PRESIDEN Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, perjuangan mendiang Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong akan diteruskan.

Beliau berkata, mendiang yang juga Pengerusi Tetap parti itu akan terus membela nasib rakyat di kawasan tersebut.

Menurut  bekas Ketua Menteri Sabah itu lagi, masyarakat Batu Sapi diharap memberi sokongan padu dalam memastikan pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh mendiang untuk rakyat, dapat diteruskan oleh parti Warisan.

“Kita mengucapkan takziah kepada Datin Dr. Lindai Lee sekeluarga di atas pemergian pejuang kita.

“Kita telah kehilangan seorang tokoh yang berjasa bukan sahaja kepada rakyat negeri ini tetapi juga kepada negara, amnya,” kata Mohd. Shafie.

Katanya lagi, beliau berharap semua masyarakat di Batu Sapi berpadu tenaga dan berusaha bagi memastikan apa yang diusahakan oleh mendiang, dapat diteruskan.

“Kuatkan perpaduan, bela rakyat bersama seperti yang diharapkan oleh mendiang,” kata Mohd. Shafie.

Terdahulu, Mohd. Shafie telah meluangkan masa, memberi penghormatan terakhir di kediaman keluarga mendiang di Likas.

Berita mengejutkan tentang pemergian mendiang, 60, yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) diterima Jumaat lalu.

Mendiang meninggal dunia pada kira-kira pukul 11.50 pagi akibat jangkitan paru-paru. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button