NasionalNegeri

Teroka sumber baharu datangkan hasil negeri – Pemangku Raja Perlis

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titah menyatakan keyakinan bahawa setiap jabatan serta agensi di negeri ini akan bijak meneroka sumber-sumber baharu yang boleh mendatangkan hasil kepada negeri ini.

Baginda juga percaya setiap organisasi ini akan melipatgandakan usaha untuk berfikir lebih kritis dan serius untuk mempelbagaikan lagi hasil masing-masing dan tidak bergantung kepada kutipan hasil cukai tanah dan premium.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyerahkan sumbangan kepada Che Wan Kamis di Kampung Telaga Haji Latif semasa Program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran MAIPs dengan kerjasama Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd.

Berikutan itu, Pemangku Raja bertitah, setiap jabatan serta agensi negeri perlu memberi fokus yang lebih kepada pengeluaran produk hiliran, penelitian semula caj-caj kemasukan tempat pelancongan, menyewakan lot-lot atau tapak-tapak tanah bagi tujuan aktiviti perniagaan, dan lain-lain yang difikirkan wajar.

“Pada masa yang sama beta berharap elemen penguatkuasaan perlu dipergiatkan lagi supaya segala hasil negeri dapat ditingkatkan di samping memudahkan proses penyewaan tapak-tapak perniagaan berkenaan,” titah Baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. pada kali ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan zakat MAIP kepada salah seorang asnaf.

Tiga asnaf menerima agihan zakat MAIPs yang berkenan disampaikan oleh Baginda bagi sesi ini terdiri dari Che Wan Kamis, 67, dari Kampung Telaga Haji Latif; Arop Man, 74, Kampung Belat Raja; dan Abu Hassan Awang, 73, Kampung Gobek.

Masing-masing menerima wang tunai RM700 beserta beras fidyah dan Kit MAIPs Peduli berisi bahan makanan mentah.

Hadir mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan kepimpinan Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. terdiri daripada Pengasasnya, Datuk Sri Dr. Richard Ong serta Pengarah-pengarah Eksekutif, Kevan Ong Kin Wye dan Keefe Ong.

Pemangku Raja juga berharap agar lebih banyak inisiatif pelancongan, jaminan bekalan makanan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dilaksanakan di negeri Perlis bagi terus menyumbang kepada segala perancangan pembangunan serta memberi manfaat kepada rakyat bagi jangka pendek sebagai ‘quick wins’ dan juga jangka panjang. – SM

BACA Spritzer hasilkan selendang dan scrunchies edisi terhad dari botol kitar semula

BACA Pemangku Raja Perlis lancar produk SUKA keluaran PUSPEN, AADK

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button