Nasional

Terima suapan bulanan daripada syarikat lori, 2 pegawai JPJ direman

KETUA penolong pegawai penguat kuasa dan seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menerima rasuah bulanan antara 2016 hingga 2018, dengan nilai keseluruhan RM73,850.

Perintah reman sehingga Isnin itu dikeluarkan majistret Fatina Amyra Abdul Jalil terhadap kedua-dua suspek berusia 44 dan 45 tahun di Mahkamah Majistret, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Sumber SPRM memberitahu suspek ditangkap dalam tempoh lima minit bermula 5 petang semalam, selepas hadir di pejabat SPRM Selangor.

Katanya, mereka yang masing-masing berjawatan pembantu penguat kuasa kanan dengan gred KP22 dan ketua penolong pegawai penguat kuasa bergred KP32 di JPJ Selangor, menerima rasuah bulanan daripada pengusaha syarikat pengangkutan lori.

“Siasatan awal mendapati suspek bergred KP32 itu telah meminta dan menerima wang suapan secara bulanan antara RM100 hingga RM5,000 berjumlah keseluruhan RM69,850, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan lebih muatan dan lain-lain kesalahan jalan raya.

“Kesalahan itu dilakukan selama dua tahun bermula 2016 hingga 2018,” katanya.

Suspek kedua pula katanya, menerima suapan secara bulanan bermula Disember 2017 hingga Mac 2018, dengan nilai keseluruhan RM4,000 untuk alasan sama.

Pengarah SPRM Selangor Alias Salim ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – BERNAMA

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button