BeritaNasional

Terapung 16 jam

JOHOR BAHRU – Terapung 16 jam di lautan dengan hanya berpaut pada jaket keselamatan sebelum diselamatkan.

Hanya itu yang mampu dilakukan oleh empat lelaki rakyat Indonesia apabila bot kargo dinaiki mereka karam di perairan Muar, Isnin lalu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, bot kargo KM Bahari Indah 5 yang dinaiki kesemua mangsa sebelum itu, turut terputus hubungan dengan sebuah lagi bot yang berlayar bersama.

Kesemua mereka yang selamat itu adalah nakhoda dan kru bot berusia antara 34 dan 54 tahun.

Mereka ditemukan menerusi sebuah kapal dagang MT Sinar Marsela di kedudukan 5.3 batu nautik Timur Pulau Rupat, Indonesia pada 6 petang semalam.

“Berdasarkan maklumat diperoleh daripada sebuah lagi bot kargo yang berlayar bersama KM Bahari Indah 5, kedua-dua bot telah keluar beriringan berlayar dari Dumai, Indonesia kira-kira 6 pagi (waktu Malaysia) pada 9 Disember lalu.

“Bagaimanapun, selepas mengharungi ombak besar dan cuaca buruk ketika pelayaran di kedudukan kira-kira 29 batu nautika barat daya Muar, KM Bahari Indah 5 dilaporkan terputus hubungan kira-kira 3 petang (hari sama).

“Oleh itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot kargo berkenaan telah diaktifkan pada 11 pagi semalam melibatkan aset maritim dari Zon Maritim Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama di sini hari ini.

Aminuddin berkata, pencarian juga menggunakan Sistem Pengawasan Maritim Laut iaitu untuk menjejaki kedudukan terakhir bot kargo itu, selain bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Badan SAR Nasional Indonesia Pekan Baru, Jabatan Laut, polis dan komuniti maritim.

Operasi SAR itu ditamatkan pada 7.10 malam selepas penemuan mangsa.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button