JenayahNasionalNegeri

Maritim Kuala Perlis gagalkan seludup ganja RM150,000

KALAU penyeludup bergerak aktif mulai awal pagi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) juga tangkas bergerak lebih awal sehingga berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk ganja bernilai RM150,000 ke negara ini.

Pengarah Maritim Kedah/Perlis, Laksamana Pertama, Mohd Zawawi Abdullah berkata, sebanyak 30 kilogram (kg) ketulan ganja mampat berjaya dirampas dalam “Ops Khas” pada kedudukan 2.26 batu nautika barat laut muara Kuala Perlis, pada pukul 1.42 pagi semalam.

RAMPASAN ganja bernilai RM150,000 yang berjaya ditumpaskan Maritim Malaysia Kuala Perlis.

“Hasil maklumat diterima, pasukan khas mengesan sebuah bot fiber memasuki perairan Kuala Perlis dari sempadan Thailand,” katanya pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis, Jalan Wai, Kuala Perlis, hari ini.

Mohd. Zawawi berkata, menyedari diserbu, dua suspek bertindak membuang satu bungkusan plastik berwarna hitam yang disyaki ganja ke dalam laut.

Beliau berkata, suspek kemudiannya menukar haluan untuk melarikan diri dengan berpatah balik ke sempadan Thailand.

“Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam berkenaan, didapati didalamnya ada bungkusan guni plastik berwarna merah yang mengandungi 30 ketulan ganja mampat,” jelasnya.

Bungkusan plastik hitam yang mengandungi ganja dibuang ke laut oleh suspek selepas menyedari disebu Maritim Kuala Perlis.

Tambah beliau, setiap ketulan ganja yang dianggarkan seberat satu kilogram (kg) itu diikat dalam bentuk segi empat berbalut plastik putih.

“Semua rampasan dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 195,” katanya.

Mohd. Zawawi berkata, ini merupakan rampasan dadah yang kedua dan terbesar bagi Zon Maritim Kuala Perlis.

“Saya percaya aktiviti penyeludupan ganja ini dipercayai untuk dijual di pasaran utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.

Katanya lagi, hasil siasatan mendapati modus operandi (MO) sindiket pengedaran dadah ini bergerak dengan menggunakan bot fiber enjin bergalah berkuasa tinggi.

“Cara ini memudahkan penyeludup memasuki kawasan air cetek dan melarikan diri jika dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia meminta kerjasama orang ramai agar segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus hubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam atau MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 392 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button