Nasional

Tenaga buruh terus kukuh selepas PKPP – M Saravanan

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memberi jaminan, tenaga buruh pada separuh kedua, tahun ini dijangka terus mengukuh.

Ia selaras dengan ekadaan ekonomi negara yang dilihat kembali memperoleh rentak selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.

Saravanan berkata, di sebalik jaluran negatif dalam penawaran tenaga buruh sehingga Mei lalu, situasi ini telah bertambah baik jika dibandingkan dengan keadaan sewaktu April lalu.

Tambahan pula, setelah PKPP mula berkuat kuasa pada 10 Jun 2020 yang lalu, keadaan ekonomi telah memperoleh kembali momentumnya, kata beliau.

“Seterusnya ia dijangka dapat mengekalkan pekerjaan selain daripada mewujudkan pekerjaan baharu dan mendorong pengambilan pekerja” kata Saravanan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

BACA Kurang pekerja asing, jejas bekalan sarung tangan getah

Beliau berkata ,ini adalah hasil daripada pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan bagi mencapai sasaran tertentu.

Di samping itu, menurut Saravanan lagi, lebih banyak perniagaan yang dibenarkan beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyumbang kepada penurunan bilangan penganggur.

Menteri Saravanan menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang mahu tahu unjuran kadar pengangguran negara dan anggaran jumlah penduduk yang menganggur sehingga akhir tahun ini serta langkah-langkah diambil kementerian dalam mengatasi lonjakan kenaikan kadar pengangguran terkini.

Menurut Saravanan, sehingga 2 Jun lalu, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kira-kira 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei lepas.

Manakala kadar pengangguran sepertimana dimaklumkan DOSM sebelum ini meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei berbanding 5 peratus sebulan sebelumnya.

BACA Siapa lagi bakal hilang pekerjaan?

“DOSM menganggarkan julat maksimum kadar pengangguran adalah dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun ini,” katanya.

Beliau menambah, sektor pekerjaan paling terjejas adalah pelancongan, pembuatan dan perkhidmatan serta mereka yang bekerja sendiri termasuk peniaga dan pengusaha kecil-kecilan.

Sementara itu menjawab soalan Anwar yang mahu tahu samada anggaran berkenaan menggambarkan jumlah yang sebenar, Saravanan berkata, ia adalah anggaran yang realistik. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button